Sukan Asia: Sivasangari beri isyarat positif di Qatar

Sukan Asia: Sivasangari beri isyarat positif di Qatar

S. Sivasangari (kanan) bertarung sengit menentang bintang No. 1 dunia, Hania El Hammamy pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Klasik Qatar di Qatar, semalam. - Ihsan PSA Squash
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bintang skuasy No. 5 dunia, S. Sivasangari kini berada di landasan terbaik untuk memburu pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya dan sekali gus meraih slot pertama ke Sukan Olimpik 2028.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Andrew Cross berkata, berdasarkan prestasi yang dipamerkan Sivasangari pada separuh akhir Klasik Qatar, malam tadi, pemain itu menuju ke arah laluan yang betul walaupun tewas tangan jaguh No. 1 dunia, Hania El Hammamy dari Mesir.

“Sivasangari mara ke separuh akhir buat kali pertama pada kejohanan berstandard Platinum dan dia kini semakin hampir dengan persembahan pemain yang berada di ranking lebih atas daripadanya.

“Permainannya semakin baik setiap kali dia berjumpa pemain-pemain handalan ini. Dalam aksi berdepan Hammamy, perlawanan itu sangat sengit,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pemain No. 1 Malaysia itu tewas tipis kepada Hammamy 11-8, 9-11, 13-15, 11-9, 10-12 dalam masa 1 jam 27 minit.

Bagaimanapun, Cross memberitahu, walaupun Sivasangari berada pada prestasi terbaiknya ketika ini, tetapi, anak jati Kedah itu tetap perlu berhati-hati kerana laluannya di Sukan Asia tidak mudah.

“Dia akan beraksi di tanah air kelahiran Satomi Watanabe yang merupakan pemain No. 6 dunia, jadi, laluan Sivasangari tidak mudah,” ujarnya.

Mengulas pula mengenai tiket ke Sukan Olimpik, jurulatih kelahiran England itu berkata, baik Sivasangari mahupun pemain perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow, kedua-duanya diletakkan sebagai pilihan pertama dan mereka mempunyai peluang menjadi pemain pertama mengesahkan slot ke Olimpik.

Sukan Asia menawarkan tiket ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat secara automatik bagi pemenang pingat emas untuk acara perseorangan lelaki dan wanita.

Cross turut mengingat anak-anak buahnya yang beraksi pada Sukan Asia tidak mengambil mudah dengan lawan yang bakal mereka temui.

“Kita perlu sentiasa berwaspada. Tidak boleh ambil mudah mana-mana pencabar. Terutamanya dalam acara beregu campuran, tidak banyak kejohanan untuk acara ini dalam Jelajah.

“Jadi, kebarangkalian pencabar dari negara lain memecah ganding beregu akan berlaku. Harap mereka dapat segera menyesuaikan diri dengan permainan kelak,” katanya.

Dalam sektor beregu campuran, dua pasangan negara, Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman dan C. Ameeshanraj- Rachel Arnold diletakkan sebagai pilihan pertama serta kedua, justeru, peluang kedua-dua gandingan itu bertembung sesama sendiri pada final sangat cerah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×