Sivasangari, Eain Yow mara ke final skuasy Sukan Asia

Sivasangari, Eain Yow mara ke final skuasy Sukan Asia

S. Sivasangari menewaskan wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk pada separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun hari ini. - Ihsan WSF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 5 dunia, S. Sivasangari mara ke perlawanan akhir selepas membenam wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk pada separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, hari ini.

Anak jati Kedah itu yang merupakan juara bertahan hanya mengambil masa selama 19 minit untuk mengetepikan pemain No. 21 dunia, Chan Sin Yuk dari Hong Kong 11-6, 11-8, 11-7.

Pada perlawanan akhir, esok, Sivasangari akan berdepan pemain muda India sedang meningkat naik, Anahat Singh yang menghuni ranking No. 17 dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anahat mencipta kejutan besar dalam satu lagi separuh akhir apabila menewaskan bintang No. 6 dunia, Satomi Watanabe dari Jepun 9-11, 11-13, 12-10, 11-6, 11-3 dalam masa 51 minit.

Kemaraan Sivasangari ke pentas akhir temasya empat tahun sekali itu adalah kali ketiga berturut-turut selepas kali pertama dia berbuat demikian di Jakarta-Palembang pada 2018 dan di Hangzhou, empat tahun lalu.

Sementara itu, wakil perseorangan lelaki, Ng Eain Yow yang menghuni ranking No. 18 dunia menyingkirkan pemain ke-29 dunia, Zaman Noor dari Pakistan 11-7, 11-2, 11-4 dalam masa 22 minit.

Pemain berusia 28 tahun itu akan menghitung pertemuan dengan wakil India, Abhay Singh yang berada di ranking ke-26 dunia pada perlawanan akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×