PETALING JAYA: Hasrat untuk melihat pemain skuasy No. 1 negara, S. Sivasangari mengulangi pencapaian Datuk Nicol David tidak kesampaian, apabila dia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada Jelajah Akhir Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Paris, Perancis, awal pagi tadi.
Sivasangari yang merupakan pemain No. 5 dunia tewas kepada jaguh No. 1 dunia, Hania El Hammamy dari Mesir 6-11, 11-10, 8-11, 8-11 dalam masa 53 minit pada perlawanan akhir.
Walaupun, terpaksa berpuas hati selaku naib juara, namun, pencapaian mara ke pentas akhir pada kejohanan berprestij penutup musim itu adalah keputusan terbaik yang dilakar anak jati Kedah itu dalam kariernya.
Jelajah Akhir PSA itu hanya melibatkan penyertaan pemain yang menghuni ranking lapan terbaik dunia.
Malaysia pernah menjulang gelaran Jelajah Akhir PSA menerusi legenda skuasy dunia, Nicol pada 2012 dan sejak bekas bintang No. 1 dunia itu bersara masih belum ada wakil negara yang mampu mengulangi pencapaiannya itu.
Sivasangari sekurang-kurangnya berjaya menghampiri pencapaian tersebut dengan menamatkan penantian 14 tahun untuk menyaksikan anak Malaysia kembali berada di pentas akhir.
Walaupun tewas, pingat perak yang di bawa pulang Sivasangari memberi isyarat jelas bahawa pemain berusia 27 tahun itu kini bersedia untuk memburu tempat ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 yang bermula tahun depan.
Dengan ranking semasanya di tangga No. 5 dunia, Sivasangari mengakhiri musim 2025/2026 dengan prestasi cemerlang selepas menggondol dua gelaran pada Terbuka Australia dan Piala Grasshopper di Zurich, Switzerland. – UTUSAN










