TIANSHUI: Seorang pemilik tadika dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah meracuni lebih 200 kanak-kanak menerusi makanan yang dicemari plumbum.
Li Huifang yang mengendalikan Tadika Heshi Peixin di Tianshui, wilayah Gansu, dijatuhi hukuman itu atas pertuduhan memproses dan menjual makanan beracun serta berbahaya manakala lima kakitangannya dijatuhi hukuman penjara antara enam hingga 15 tahun, menurut laporan media tempatan.
Pada Julai 2025, seramai 247 murid dan kakitangan di tadika berkenaan dikesan mempunyai paras plumbum yang tinggi dalam darah secara luar biasa selepas kanak-kanak di premis tersebut mula jatuh sakit.
Laporan berhubung insiden itu membongkar bahawa tukang masak di Tadika Heshi Peixin telah menggunakan cat yang tidak boleh dimakan semata-mata untuk mencantikkan rupa hidangan bagi menarik minat murid walaupun bekas cat berkenaan ditanda dengan jelas sebagai bahan bukan makanan.
Selain hukuman penjara, Mahkamah Rakyat Pertengahan Lanzhou turut memerintahkan penyitaan harta peribadi Huifang bernilai 500,000 yuan (RM305,158), menurut laporan penyiar rasmi CCTV.
Dalam prosiding sama, Pengetua Eksekutif tadika, Zhi Jinglin dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan didenda 300,000 yuan (RM183,095).
Empat lagi kakitangan yang bertugas di dapur tadika berkenaan masing-masing menerima hukuman penjara antara enam hingga lapan tahun.
Mahkamah mendapati keempat-empat mereka bertindak mengikut arahan Huifang dan Jinglin untuk mencampurkan bahan beracun dan berbahaya ke dalam makanan yang dihidangkan kepada kanak-kanak serta kakitangan.
Sampel makanan yang diuji kemudiannya mendapati kandungan plumbum melebihi 2,000 kali ganda daripada had keselamatan kebangsaan China.
Siasatan ke atas kes keracunan ini bermula selepas 235 kanak-kanak dari tadika berkenaan memerlukan rawatan akibat keracunan plumbum selepas memakan kek kurma merah kukus dan roti jagung sosej.
Penyiasat mendapati kek kurma merah dan roti jagung sosej itu masing-masing mengandungi paras plumbum sebanyak 1,052 mg/kg dan 1,340 mg/kg, sekali gus jauh melampaui standard keselamatan makanan kebangsaan yang ditetapkan pada had 0.5 mg/kg.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), keracunan plumbum amat berbahaya kepada kanak-kanak kecil dan boleh merosakkan otak serta sistem saraf pusat secara serius.
Pihak berkuasa kemudiannya mendapati puluhan pegawai wilayah dan kakitangan hospital turut cuba menutup insiden berkenaan dengan memalsukan ujian darah serta menerima rasuah daripada pelabur tadika terbabit. -AGENSI











