China didakwa 'ganggu' pilihan raya Taiwan guna AI

China didakwa ‘ganggu’ pilihan raya Taiwan guna AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: China didakwa menggunakan kandungan deepfake dijana kecerdasan buatan (AI), akaun media sosial palsu dan skandal politik rekaan bagi mempengaruhi pilihan raya pihak berkuasa tempatan Taiwan yang berlangsung Sabtu ini.

Antara taktik yang dikesan termasuk penyebaran video palsu yang memaparkan ahli politik kononnya mengambil dadah serta penggunaan identiti maya untuk menggalakkan orang ramai tidak keluar mengundi.

Penyelidik dan laporan kerajaan mendakwa taktik itu sebahagian daripada kempen penyebaran maklumat palsu bagi menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi Taiwan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pilihan raya itu akan menentukan pentadbiran bandar dan daerah di Taiwan, selain dilihat sebagai petunjuk sentimen pengundi menjelang pilihan raya presiden pada 2028.

Keputusannya turut menjadi perhatian China dan Amerika Syarikat (AS). Bagaimanapun, China menafikan dakwaan campur tangan dalam pilihan raya di pulau itu.

Menurut pegawai Taiwan, kerajaan negara itu melaporkan hampir 2,700 akaun kepada Meta kerana didakwa terbabit dalam usaha terancang China untuk mempengaruhi pilihan raya berkenaan.

Kebanyakan akaun itu menggunakan Threads, platform media sosial berasaskan teks milik Meta yang popular di Taiwan.

Daripada kira-kira 2,400 akaun Threads yang diteliti dalam laporan dalaman kerajaan Taiwan, sebanyak 74 peratus dikesan menggunakan lokasi China, 25 peratus tidak menyatakan lokasi manakala satu peratus lagi meletakkan Russia sebagai lokasi.

Hampir semua akaun itu diwujudkan dalam tempoh empat bulan sebelum pilihan raya dan dipercayai dibuka secara berkelompok. Kebanyakan akaun berkenaan dikenal pasti berasal dari China oleh kerajaan Taiwan.

Jurucakap Meta mengesahkan syarikat teknologi AS itu telah memadamkan akaun Threads yang dilaporkan oleh kerajaan Taiwan, dengan kebanyakannya sudah pun dilumpuhkan menerusi sistem pengesanan syarikat itu.

Menurut jurucakap itu, tiada satu pun daripada akaun palsu berkualiti rendah berkenaan membuat hantaran berkaitan pilihan raya, manakala kebanyakannya tidak mempunyai pengikut.

“Kami akan terus mengambil tindakan terhadap akaun yang melanggar dasar kami,” katanya.

Taiwan akan mengadakan pilihan raya pada 28 November ini bagi mengisi lebih 11,000 jawatan dalam pentadbiran bandar dan daerah, dengan kira-kira 20 juta penduduk layak mengundi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini