BUKIT JALIL: Meskipun sudah 13 tahun mendirikan rumah tangga tanpa kehadiran cahaya mata, pelakon, Izzue Islam tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan zuriat.
Menurut Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, berita kehamilan isteri sahabat baiknya, Achey, Nor Hasanah Yahaya selepas 15 tahun menanti turut memberikan sinar harapan buat dirinya dan isteri, Awin Nurin.
“Saya gembira untuk mereka. Saya sendiri tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa untuk mendapatkan zuriat.
“Kalau ada rezeki untuk saya dan isteri, mana tahu, kan? Tetapi usaha tetap perlu dilakukan. Kami tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa. Yalah, 13 tahun itu satu tempoh yang lama.
“Tetapi sahabat kita, Achey, selepas 15 tahun pun Allah rezekikan. Kenapa kita mahu mengatakan tidak? Kenapa kita mahu berhenti? Kita kena terus berusaha.
“Mana tahu, mungkin lima atau 10 tahun lagi, kalau dapat, dapatlah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Watch Party Suamiku Anak Mak episod 20, semalam.
Dalam pada itu, pelakon berusia 36 tahun tersebut mengakui dirinya dua kali mengalirkan air mata kerana terlalu gembira dengan berita kehamilan isteri sahabatnya itu.
“Sebelum mereka umumkan, mereka sudah datang ke rumah untuk membuat kejutan dengan berpura-pura mahu menghantar kuih bahulu atau makanan.
“Kemudian, mereka tunjukkan sesuatu kepada Awin sebelum masing-masing menangis. Saya pula tertanya-tanya kenapa mereka menangis.
“Apabila melihat apa yang ditunjukkan menerusi telefon, barulah kami tahu. Jadi, ketika mereka membuat pengumuman kepada umum, itu sudah kali kedua saya menangis kegembiraan,” jelasnya.
Bagaimanapun, di sebalik keinginan untuk bergelar bapa, Izzue tetap reda sekiranya rezeki menimang cahaya mata bukan sebahagian daripada ketentuan hidupnya.
“Kalau tidak ada rezeki zuriat, maknanya Allah mahu saya hanya berdua dengan Awin. Tetapi bagi saya, semuanya okey. Berdua pun okey, kalau ada zuriat pun okey,” ujarnya.
Terdahulu, Achey dan Hasanah atau lebih mesra disapa sebagai Anne memaklumkan mereka bakal menimang cahaya mata selepas proses persenyawaan in-vitro (IVF) yang dijalani buat kali kedua berjaya.
Sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan peminat drama tempatan, Astro menganjurkan sesi Watch Party bagi drama fenomena Suamiku Anak Mak dengan menghimpunkan barisan pelakon utama bersama peminat dalam sebuah acara istimewa bagi meraikan perjalanan dan kejayaan drama tersebut.











