LONDON: Alexander Isak tidak akan melupakan segala jasa Newcastle United yang memainkan peranan melonjakkan namanya di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Penyerang Sweden itu mengucapkan terima kasih kepada The Magpies selepas menyertai Liverpool dengan rekod perpindahan Britain bernilai 125 juta pound (RM707.7 juta).
Penyerang berusia 25 tahun itu menyertai skuad Arne Slot dengan kontrak enam tahun, menamatkan drama panjang selepas bertindak mogok ketika mencari jalan keluar.
Isak tidak beraksi bersama Newcastle sepanjang pramusim serta tiga perlawanan awal EPL musim ini dan ketiadaan itu membuatkan penyokong Newcastle bengang terhadapnya.
Isak menjaringkan 54 gol dalam 86 penampilan liga bersama Newcastle dan turut meledak gol dalam final Piala Liga awal tahun ini yang menyaksikan The Magpies menjulang trofi utama pertama selepas 56 tahun.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan paling utama, bandar Newcastle serta semua penyokong yang luar biasa atas tiga tahun yang tidak dapat dilupakan bersama.
“Bersama-sama, kita telah mencipta sejarah dan membawa kelab ke tempat yang sepatutnya. Satu penghormatan besar buat saya menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Selamanya berterima kasih. Terima kasih Newcastle,” kata Isak. – AGENSI/UTUSAN










