Sivasangari, Amina ulangi pertemuan di suku akhir

Sivasangari, Amina ulangi pertemuan di suku akhir

S. Sivasangari (kanan) dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas Jasmine Hutton pada pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Terbuka Mesir di Kaherah, Mesir, kelmarin. - IHSAN EGYPTIAN OPEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh skuasy negara, S. Sivasangari tidak diberi laluan mudah oleh Jasmine Hutton sebelum mengesahkan slot ke suku akhir dan seperti diramal, bintang muda tuan rumah, Amina Orfi menantinya pada Terbuka Mesir di Kaherah, esok.

Bintang No. 8 dunia itu mengambil masa selama 47 minit untuk menundukkan wakil England yang menghuni ranking ke-18 dunia 12-10, 7-11, 11-9, 11-5 pada pusingan ketiga.

Pada suku akhir (Khamis, 1.15 pagi), Sivasangari sekali lagi bakal berdepan jaguh No. 5 dunia, Amina, 18, lawan yang menyekat hajatnya mempertahankan gelaran pada Kejohanan Klasik London di London, England, minggu lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Hutton, anak jati Sungai Petani, Kedah itu berkata, pemain itu mempamerkan satu persembahan yang berbeza berbanding ketika mereka berdua bertemu di suku akhir Klasik London.

“Kali ini kami juga bermain dalam format permainan yang berbeza dan di gelanggang berbeza. Saya rasa dia bermain lebih baik, hari ini (kelmarin), terutama ketepatannya ketika memukul bola.

“Hutton seorang pejuang dan dia berjuang untuk mendapatkan mata demi mata dan saya pula perlu kekal konsisten,” katanya sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Menurut Sivasangari, dia juga tidak beraksi terlalu baik dalam set pertama serta kedua dan setiap yang diusahakan tidak berjalan seperti yang dimahukannya

Katanya, dia terlalu terburu-buru dan bermain seolah-olah tiada tujuan, jadi, dia cuba untuk lebih bertenang selepas itu.

“Sewaktu set ketiga, perlawanan berlangsung sengit dan mujur saya berjaya menang. Semasa set keempat saya mula kembali kepada permainan sebenar saya, bermain skuasy dengan lebih baik,” katanya.

Bercakap menjelang suku akhir, Sivasangari berkata, dia mendapat rehat sehari sebelum turun menentang Amina dan gelanggang kaca di Piramid bukanlah asing baginya kerana pernah bermain di sana bertemu dua bintang handalan, Nour El Sherbini dan Nouran Gohar.

“Saya juga masih ingat tahun lepas, saya mendahului 2-0 menentang Nada (Abbas), tetapi, saya tewas akhirnya, jadi, saya cuba mara sejauh mungkin dalam setiap kejohanan dan memperbaiki prestasi saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN