PADANG BESAR: Dua peringkat awal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sudah melabuhkan tirai dengan jarak kayuhan 262.8 kilometer, namun tumpuan sebenar kini terarah kepada cabaran getir Peringkat 3 dari Gerik ke Pasir Puteh sejauh 198.2km, hari ini.
Laluan itu bukan calang-calang apabila tiga zon pendakian menanti seawal 60km pertama di Gerik, Sri Banding dan Puncak Titiwangsa, sebelum peloton diuji pula dengan tiga zon pecutan di Jeli, Bukit Bunga dan Machang menuju garisan penamat di Pasir Puteh.
Selepas dua peringkat landai sebelum ini, inilah pentas sebenar untuk pelumba bergelar pendaki menonjolkan kemampuan.
Bagi kapten pasukan kebangsaan, Mohd Shahrul Mat Amin, peluang hari ini menjadi nostalgia kerana hampir sama dengan laluan edisi 2018 yang menyaksikan dirinya menamatkan saingan di tempat ke-12 keseluruhan.
Kali ini, Shahrul yang kembali memperkuat pasukan negara selepas tujuh tahun tidak beraksi dalam LTdL mengakui sudah mencongak strategi untuk mencipta kejutan.
“Saya sasarkan untuk melepasi pendakian dalam kelompok pertama, kemudian cuba masuk ke pecutan beramai-ramai menuju penamat.
“Pada edisi 2018 saya pernah berada di kelompok hadapan dan menamatkan perlumbaan di tangga ke-12. Insya-Allah, saya akan cuba sekali lagi,” katanya.
Selain Shahrul, skuad bimbingan Mohd Yusof Abdul Nasir turut meletakkan sandaran kepada Muhammad Iqmal Mohd Zarawi selaku pendaki utama, dibantu Kee Zhe Yie, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Elmi Jumari dan Muhammad Yusri Shaari. – UTUSAN










