TSG capai sasaran LTdL 2025

TSG capai sasaran LTdL 2025

Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli menjulang basikalua selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam perlumbaan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Melaka ke Medini. - UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keupayaan pelumba pasukan Terenggani Cycling Team (TSG) memberi saingan kepada pelumba lain dalam Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025 membuktikan persiapan di Sepanyol sebelum kejohanan mencapai sasaran.

Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus menzahirkan rasa lega dan bangga apabila pelaburan besar pasukan itu berlatih di Eropah akhirnya membuahkan hasil pada LTDL kali ini.

Menurut Nasiruddin, kejayaan pelumba negara, Muhammad Nur Aiman Rosli menaiki podium di salah satu peringkat selepas empat hari melakukan serangan solo merupakan bukti jelas keberkesanan persiapan rapi pasukan itu sepanjang musim ini.

“Kejayaan Aiman sangat bermakna buat kami. Setelah tiga empat hari beliau melakukan breakaway solo, akhirnya beliau berjaya menamatkan perlumbaan sebagai juara. Ini hasil kerja keras dan perancangan teliti pasukan,” katanya.

Beliau berkata, sejak awal lagi TSG telah menetapkan sasaran realistik sekurang-kurangnya satu podium dan seorang pelumba berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan (GC), sasaran yang kini berjaya direalisasikan.

Tambahnya, pelaburan menghantar pelumba tempatan ke Sepanyol selama sebulan bagi menyertai siri perlumbaan ‘one-day race’ terbukti berbaloi apabila tahap kecergasan dan prestasi mereka meningkat ketara dalam LTDL kali ini.

“Kami hantar tiga pelumba termasuk Aiman dan Khee Zhe Yie ke Sepanyol. Hasilnya dapat dilihat bukan sahaja dalam kemenangan Aiman, malah Zhe Yie yang mewakili pasukan kebangsaan turut bantu negara selepas dinobatkan sebagai pelumba paling menyerlah pada peringkat keenam,” katanya.

Dalam pada itu, Nasiruddin turut mendedahkan TSG kini menjalin kerjasama dengan pasukan profesional dari Sepanyol, Caja Rural, yang menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang pembangunan pelumba Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

“Kerjasama ini sudah berjalan empat bulan. Kami juga sudah bawa masuk seorang pelumba Kaharura ke dalam pasukan TSG (Pro Jelajah) dan hantar Zhe Yee ke Caja Rural dua bulan lalu.

“Ia termasuk kerjasama dari segi latihan dan kejurulatihan yang akan diteruskan musim depan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata TSG kini sedang merancang untuk memperkukuh program pembangunan pelumba bagi menghadapi kejohanan lebih berprestij seperti Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) dan Sukan Asia pada masa akan datang.

“Kami mahu melonjak ke tahap seterusnya. Selain komitmen dalam perlumbaan UCI, fokus kami adalah kejohanan rasmi yang memberi impak besar kepada pembangunan pelumba negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN