Qabil buru gelaran dunia

Qabil buru gelaran dunia

Qabil Irfan Azlan (tengah) disambut peminat-peminat cilik semasa tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Juara ESBK Talent 2025, Qabil Irfan Azlan memberi isyarat akan terus memburu kemenangan dalam dua baki perlumbaan di Jerez, Sepanyol meskipun sudah menggenggam trofi di Estoril, Portugal minggu lalu.

Anak jati Terengganu berusia 13 tahun itu turut mensasarkan gelaran dunia pada penampilan terakhirnya pada Kejohanan Dunia FIM MiniGP Akhir 2025 yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol pada 11-13 November ini.

“Insya-Allah saya hendak menang di pusingan terakhir dekat Jerez, semua orang hendak menang, begitu juga dengan sasaran saya pada Kejohanan Dunia MiniGP Akhir.

“Selepas kejayaan di ESBK Talent, saya lebih bersemangat untuk bersaing di Valencia pula, tetapi, aksi di MiniGP saya jangkakan pesaing yang bakal saya terima daripada peserta baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) sebaik tiba dari Portugal, kelmarin.

Mengulas pula pencapaian cemerlangnya di Estoril, Qabil Irfan berkata, pelarasan baharu ke atas jentera hasil kerja keras krew pasukan telah membuahkan hasil yang cukup lumayan selepas dia menjuarai kedua-dua perlumbaan.

Katanya, jurang 14 saat meninggalkan pesaing-pesaingnya mungkin disebabkan hasil ‘kerja rumah’ yang dilakukan sendiri untuk lebih memahami selok-belok Litar Estoril.

“Sejak tahun lepas lagi saya dah selidik kerana saya pernah berlumba dua kali di sana dan saya memang cuba cari pelarasan terbaik sejak sesi latihan bebas sehingga ke kelayakan, lepas itu saya cuba fokus untuk perlumbaan pula,” katanya.

Qabil Irfan berkata, dia juga menerapkan taktikal yang berbeza ketika perlumbaan apabila memecut laju jenteranya sejak awal saingan dan tidak menyangka sama sekali tindakannya itu telah meninggalkan jauh pencabarnya di belakang.

“Semasa perlumbaan, saya cuba pecut jentera saya dari awal dan saya pun tak sangka yang saya boleh cipta jurang dengan pelumba lain, selepas itu saya cuba untuk jaga kelajuan motosikal,” katanya.

Ketika ditanya dengan badan jentera yang ditukar warna asal kepada hitam dan emas, Qabil Irfan berkata, usaha tersebut dilakukan pasukannya dan mungkin dalam perlumbaan 2 iaitu aksi terakhir bagi musim 2025 di Jerez, motosikalnya akan mengunakan warna baharu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN