SHAH ALAM: Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan berada di landasan terbaik untuk mengembangkan kariernya ke perlumbaan lebih kompetitif dengan Asia Talent Cup (ATC) dan European Talent Cup (ETC) sepatutnya menjadi destinasi musim depan.
Bakal menginjak usia 14 tahun musim depan, Qabil sudah layak bertanding dalam kedua-dua perlumbaan itu yang diselia Dorna selaku pemegang hak penganjuran MotoGP.
Ini bermakna, masa depan Qabil berada di landasan tepat bagi mempersiapkannya beraksi di dalam Kejuaraan Motosikal Dunia apabila tiba masanya kelak.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, sebagai permulaan karier pada musim depan, Qabil telahpun dinasihatkan untuk meninggalkan perlumbaan MiniGP bagi membuka laluan kepada perlumbaan yang lebih kompetitif.
“Saya berharap tahun depan fokus dia kepada perlumbaan di peringkat yang lebih atas, jadi, perancangan untuk Qabil ialah dia berlumba dalam ATC dan ETC,” katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun RCB ke-30, baru-baru ini.
Menurut Zulfahmi, pihaknya sedang berunding dengan pasukan tempatan di Eropah yang berminat disebabkan prestasi cemerlang Qabil dalam Kejohanan Superbike Sepanyol (ESBK).
“Ramai yang berminat dengan Qabil disebabkan prestasi Qabil di ESBK dan saya berharap kita dapat melaksanakan rundingan itu dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, Zulfahmi mengakui, keputusan tetap bergantung kepada pemilihan akhir yang akan dikendalikan oleh Dorna menjelang musim baru.
Katanya, untuk ATC sahaja, kira-kira 18 pelumba Malaysia dijangka terbabit dalam sesi uji bakat bersama Dorna nanti dan Qabil berada dalam senarai tersebut.
“Pelumba-pelumba ini biasanya mendapat cadangan sebagai contoh daripada Honda, SIC ataupun MAM, tetapi secara jujur proses pemilihan ATC bergantung sepenuhnya kepada Dorna dan tak ada campur tangan daripada mana-mana pihak yang berkepentingan,” katanya.
Qabil yang kini mendahului senarai ESBK Talent Cup berbekalkan 202 mata, telahpun dinobatkan lebih awal sebagai juara MiniGP Malaysia dan akan mewakili negara pada Kejohanan Dunia MiniGP di Valencia, Sepanyol, hujung tahun ini, yang bakal menjadi penampilan terakhirnya. – UTUSAN










