Peluang Harimau Malaya kutip mata maksimum

Peluang Harimau Malaya kutip mata maksimum

Skuad Harimau Malaya mengadakan latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin sebagai persiapan aksi persahabatan menentang Singapura, esok. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu mengutip mata maksimum dalam dua aksi persahabatan menentang Singapura, esok dan Palestin pada 8 September ini bagi meletakkan nama Malaysia di kedudukan terbaik ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Kemaskini ranking FIFA pada Julai lalu menyaksikan, skuad kendalian Peter Cklamovski berada di kedudukan ke-125 dunia dengan 1138.48 mata, peningkatan dari tangga ke-135 dunia itu dipacu oleh kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Menurut Cklamovski, mata ranking FIFA aspek yang beliau hormati, namun apa yang penting baginya ialah untuk memastikan prestasi sentiasa berkembang dan sekiranya melakar kemenangan, ia sekaligus menyumbang kepada mata terkumpul di ranking badan induk dunia.

“Mata daripada perlawanan ini adalah sesuatu yang perlu kita hormati, apa yang penting bagi saya ialah pasukan terus berkembang. Saya juga tidak akan mengubah falsafah pasukan dan akan terus memacu pencapaian yang dicapai dalam perlawanan sebelum ini.

“Pasukan akan terus komited dan bermotivasi untuk memberikan segala-galanya. Perlawanan menentang Singapura dan kemudian perlawanan berbeza menentang Palestin, jadi objektif kami adalah untuk bermain bola sepak terbaik yang kami mampu.

“Kita akan lawan Singapura dahulu, kita mahu main bola sepak yang baik lawan Singapura, kita mahu jaringkan sebanyak mungkin gol, kekalkan rekod tanpa bolos, menang untuk negara dan kemudian ulangi prestasi ketika lawan pasukan kuat.

“Palestin, satu lagi cabaran, cabaran taktikal yang berbeza dan itu bantu kita teruskan langkah sebagai pasukan kebangsaan untuk Oktober yang penting, tetapi kita ambil kem ini dahulu dan kemudian kita juga sentiasa lihat ke depan,” kata Cklamovski.

Ditanya tentang prestasi pemain Harimau Malaya bersama kelab masing-masing, Cklamovski percaya, para pemain boleh memberikan yang lebih baik dan yakin peningkatan kualiti akan menyumbangkan kepada persembahan bersama skuad kebangsaan.

“Saya percaya mereka boleh berikan yang lebih baik, saya akan katakan ia (aksi awal musim) adalah titik permulaan yang baik dalam Liga Super, saya fikir ada positif daripadanya, saya dapat lihat perkembangan terakhir,” kata Cklamovski.

Skuad negara dijadual menentang Singapura esok di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum melengkapkan perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini dengan bertemu pasukan di ranking 98 dunia, Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin depan.

Aksi persahabatan ini juga bakal menjadi persiapan terbaik sebelum Harimau Malaya menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober ini dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 dan selepas itu berdepan Nepal pada 18 November sebelum menutup aksi kumpulan berdepan Vietnam pada 31 Mac 2026.

Untuk rekod, kedudukan paling tertinggi pernah dihuni skuad Harimau Malaya adalah pada 1993 ketika pertama kali FIFA memperkenalkan sistem ranking di mana Malaysia menghuni tangga ke-75 dunia di bawah bimbingan Ken Worden pada waktu itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×