Perhimpunan untuk angkat suara rakyat, atur strategi

Perhimpunan untuk angkat suara rakyat, atur strategi

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dalam tempoh dua tahun, namun Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap penting, malah dilihat sebagai perhimpunan terakhir sebelum berdepan ‘gelanggang’ besar. 

Banyak pertimbangan perlu diambil kira termasuk ujian paling hampir iaitu mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

Bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan, PAT kali ke-8 ini sebagai pentas untuk menilai pencapaian, menyemak keberkesanan gerak kerja dan paling utama, mengangkat suara rakyat yang semakin tertekan dengan beban kos sara hidup serta cabaran ekonomi, selain bergantung dengan momentum ‘gelombang hijau’ seperti yang berlaku pada PRU15. 

Presiden Bersatu, TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN, dalam temu bual eksklusif bersama wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, menegaskan walaupun Bersatu masih dianggap sebuah parti ‘muda’, namun dengan hampir 700,000 ahli dan jaringan organisasi yang kukuh di seluruh negara, ia kini berada dalam posisi matang untuk menggalas tanggungjawab lebih besar terhadap rakyat.

Temu bual ini dirakam jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON dan juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI.


PAT : TAHUN PENENTU, PERJUANGAN RAKYAT

Tahun ini sangat penting dan strategik dengan kemungkinan PRU16 serta beberapa PRN termasuk di Sabah bakal diadakan. Maka, PAT ini hadir pada waktu yang sangat kritikal.

PAT bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan parti tetapi menjadi medan menilai prestasi setahun lalu dari gerak kerja organisasi hingga keberkesanan suara kita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Tujuannya jelas bagi memastikan perjuangan kita terus menyuarakan isu rakyat, khususnya umat Melayu dan Islam.

Pelbagai usul dan pandangan akar umbi akan dikemukakan. Sebagai Presiden, saya dan seluruh kepimpinan parti komited mendengar dan meneliti setiap suara ini. Tanpa akar umbi, parti akan kehilangan arah dan kekuatannya.

Kita juga harus akui kelemahan yang ada. Sebagai parti yang masih muda, dalam tempoh hampir 9 tahun, kita berjaya membina kekuatan luar biasa dengan hampir 700,000 ahli, lebih 5,000 cawangan dan 202 bahagian, mengatasi banyak parti lama termasuk UMNO.

Namun kekuatan ini datang bersama tanggungjawab besar. Kita mesti terus peka terhadap isu rakyat seperti kos sara hidup, harga barang dan tekanan ekonomi.

Oleh itu, PAT ini bukan sekadar perhimpunan tahunan tetapi platform penting untuk memperkukuh hala tuju, memperbaiki kelemahan dan memperteguhkan kekuatan agar parti terus relevan dan diyakini rakyat.

TERUS PERKUKUH PERPADUAN

Antara perkara paling penting yang tidak boleh diabaikan ialah soal perpaduan parti. Sejak awal penubuhan, kita sudah pun meletakkan perpaduan sebagai asas utama perjuangan termasuk dalam kalangan ahli, kepimpinan dan juga masyarakat Melayu yang menjadi teras kepada kekuatan Bersatu.

Atas dasar itu, kita perlu terus memperkukuh asas dan keperluan parti, dari akar umbi hingga pucuk pimpinan. Seperti kebiasaan selepas PAT, kita akan meneliti segala pandangan yang dibangkitkan serta mengambil langkah-langkah penambahbaikan atau pengukuhan, mengikut keperluan dan keadaan semasa.

Sebahagian daripada usaha ini termasuklah merancang dan melaksanakan program secara berkala. Kita perlu turun ke bawah secara lebih menyuruh. Makin dekat pilihan raya, makin dekatlah kita dengan hati rakyat.

Itulah antara strategi yang disusun sejak awal lagi, dan ia akan terus disesuaikan mengikut keadaan dan masa. Namun dalam situasi semasa, satu lagi fokus penting adalah bagaimana parti dapat memainkan peranan dalam membantu rakyat mengurangkan beban hidup yang semakin menekan, terutama dari segi ekonomi dan kos sara hidup.

PERSEDIAAN HADAPI PRN SABAH & PRU16

Bahkan PAT kali ini amat penting kerana ia juga menjadi platform persiapan menghadapi PRN Sabah. Sabah sebuah negeri yang besar dan strategik. Kita pernah diberi kepercayaan menjadi kerajaan di sana pada penggal lalu tetapi akibat pengkhianatan politik, kita terpaksa membina semula kepercayaan rakyat dan membangunkan kembali empati. Insya-Allah, kita akan menyertai PRN Sabah kali ini dengan semangat baharu dan kesungguhan yang tinggi.

Segala keputusan berkaitan gabungan politik, calon serta kawasan yang akan ditandingi, sedang berada di peringkat akhir pertimbangan. Apa yang pasti, kita akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat dan parti.

Bagi PRU16 pula, kita tahu ia pasti akan berlaku cuma tidak tahu bila kerajaan akan membubarkan Parlimen. Ada yang menjangkakan ia akan berlaku seawal tahun hadapan. Namun begitu, sebagai sebuah parti pembangkang yang agak utama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), kita mesti sentiasa berada dalam keadaan siap siaga. Ini adalah keutamaan yang tidak boleh sesekali kita abaikan.

TIADA PERBINCANGAN DENGAN UMNO

Setakat ini, secara peribadi, saya tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan. Mengenai ahli-ahli parti lain, tidak pasti jika ada sebarang pertemuan tidak rasmi yang berlaku.

KEKAL & TARIK SOKONGAN BAHARU

Hasil daripada pilihan raya lalu, kita memperoleh pelbagai data yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang memberikan gambaran jelas tentang kekuatan dan kedudukan sebenar parti kita di seluruh negara.

Antara perkara yang paling membanggakan ialah tahap sokongan tinggi daripada masyarakat Melayu, bumiputera, pribumi dan umat Islam. Jika dilihat secara keseluruhan, apabila berganding dengan Pas misalnya, sokongan ini mencecah antara 70 hingga 80 peratus. Di negeri-negeri yang boleh dianggap sebagai ‘negeri Melayu’ di utara tanah air, sokongan tersebut bahkan boleh mencapai sehingga 90 peratus. Inilah yang menjadi teras kekuatan Bersatu.

Maka, menjadi tanggungjawab utama untuk menjaga dan mempertahankan sokongan ini. Asas perjuangan untuk membela nasib, turun ke bawah, mendengar suara mereka dan melaksanakan pelbagai program serta inisiatif bagi memastikan sokongan ini terus kukuh, bahkan meningkat.

Namun, kita juga perlu berdepan dengan realiti. Peratusan keluar mengundi yang rendah. Contohnya, di kawasan majoriti Melayu yang membentuk sekitar 70 peratus pengundi, hanya sekitar 55 peratus sahaja keluar mengundi. Ini adalah perkara yang amat penting untuk kita gerakkan pengundi Melayu keluar mengundi. Bayangkan, jika hanya 5 peratus tambahan keluar mengundi, bukan sahaja kita boleh mempertahankan kerusi-kerusi sedia ada, malah berpotensi meningkatkan kemenangan dengan lebih besar.

SOKONGAN BUKAN MELAYU JUGA PENTING

Data semasa menunjukkan sokongan daripada masyarakat Cina masih rendah iaitu kurang daripada 5 peratus. Bagi masyarakat India pula, sokongan berada sekitar 30 peratus atau kurang. Bayangkan jika kita berjaya menambah hanya 2 hingga 3 peratus sokongan, ia boleh memberikan impak besar dalam kawasan campuran.

Sayap Bersekutu membuka ruang kepada penyertaan masyarakat bukan Melayu untuk bersama-sama dalam perjuangan. Ini termasuk juga kerjasama strategik dengan parti-parti politik lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sehaluan dengan nilai dan matlamat.

Semua ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang parti untuk mempertahankan sokongan teras, sambil meluaskan pengaruh dan sokongan rentas kaum. Kita menyentuh perkara ini dalam PAT tahun lalu, dan dapati isu sama masih relevan hari ini. Maka, tindakan harus lebih serius, terancang dan berkesan.

 

HAPUSKAN PERSEPSI BERSATU UNTUK MELAYU-ISLAM

Bersatu menolak tanggapan parti ini hanya memperjuangkan isu kaum atau agama tertentu. Hakikatnya, ia adalah parti moderat dan inklusif yang memberi perhatian kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang. Semasa menerajui kerajaan PN, pelbagai pakej bantuan ekonomi turut memanfaatkan syarikat dan individu bukan bumiputera.

Melalui sayap Bersekutu, ruang penyertaan untuk masyarakat bukan Melayu dibuka, dengan program turun padang serta libat urus yang meluas. Matlamatnya jelas, Bersatu dan PN mahu membantu semua rakyat, walaupun keutamaan tetap diberikan kepada masyarakat Melayu-Islam sebagai majoriti yang paling terkesan.

Pendekatan inklusif ini perlu difahami agar Bersatu dan PN dilihat sebagai platform untuk seluruh rakyat Malaysia.

MCA & MIC BERI NILAI TAMBAH

Saya mengenali ramai pemimpin MCA dan MIC yang pernah bersama dalam kerajaan dahulu. Buat pertama kali dalam sejarah, parti ini tidak diberi peranan langsung dalam kerajaan, malah tidak diberi satu kerusi pun dalam PRN lalu.

Semasa saya menjadi Perdana Menteri, walaupun MCA dan MIC bukan anggota PN, saya tetap lantik wakil mereka dalam Kabinet bagi menunjukkan kerajaan inklusif. MCA dan MIC mempunyai sejarah panjang perjuangan negara, tetapi hari ini mereka ditinggalkan kerana UMNO mengkhianati prinsip sendiri demi kepentingan tertentu termasuk bekerjasama dengan DAP.

Akibatnya, MCA dan MIC tanpa peranan. Tidak hairan jika mereka mula memikirkan masa hadapan. Sama ada bersama kita atau melalui kerjasama lain, itu soal kedua. Tetapi ia memberi nilai tambah kepada perjuangan parti jika mereka memilih untuk bersama kita.

KEBIJAKSANAAN FISKAL & KEADILAN SOSIAL

Saya mula bersuara agar kerajaan tidak membuat keputusan yang membebankan rakyat. Kononnya kerajaan perlu mencari RM10 bilion tetapi hakikatnya wang itu diambil daripada rakyat yang sudah terhimpit dengan kos sara hidup.

Isu penyasaran subsidi contohnya, bukan ditolak tetapi cara pelaksanaannya tergesa-gesa sedangkan isu lama belum selesai. Rakyat terus menanggung beban, namun kerajaan tetap umum langkah baharu tanpa perancangan jelas.

Sebagai pembangkang, peranan kami menegur. Malangnya, teguran sering tidak dipedulikan. Di Parlimen, dalam ucapan-ucapan kami, banyak kali perkara ini disentuh tetapi kerajaan seolah-olah pekak. Tidak mendengar langsung. Tiada ruang untuk semak dan imbang.

Bantuan tunai RM100 misalnya, hanya mampu membeli beberapa barang sahaja. Lebih baik dana besar itu disasarkan kepada golongan benar-benar susah dan miskin tegar, keluarga tanpa pendapatan tetap atau anak-anak yang kekurangan bekalan sekolah.

Kerajaan bercakap mahu kawal fiskal tetapi perbelanjaan projek mencecah puluhan bilion, sedangkan hutang negara sudah lebih RM1.5 trilion. Kini, 85 hingga 90 peratus hasil hanya digunakan untuk gaji, menyebabkan dana pembangunan sangat kecil. Akibatnya, pertumbuhan ekonomi merosot, berbeza ketika pentadbiran saya yang pernah mencatat 8.7 peratus walaupun semasa Covid-19.

Pokok utama ialah pengurusan ekonomi yang cekap, bijak mengurus perbelanjaan, meningkatkan hasil dan mempunyai perancangan jangka sederhana serta panjang. Inilah yang wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan.

 

GELOMBANG PENOLAKAN

Jangan salah tafsir gelombang hijau. Ia bukan sekadar warna atau lambang parti, tetapi simbol gelombang perubahan, manifestasi kemarahan dan ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan.

Dulu isu 1MDB masih segar, kini rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit. Ini bukan soal propaganda tetapi realiti harian yang ditanggung rakyat berpendapatan rendah RM1,500 hingga RM2,000 yang tidak mampu menampung keperluan asas.

Kehadiran puluhan ribu orang dalam perhimpunan baru-baru ini membuktikan perkara ini. Mereka bukan datang kerana disuruh atau dibayar tetapi kerana tekanan hidup. Inilah suara rakyat sebenar.

Melihat keadaan ini, saya yakin PRU16 bakal menyaksikan gelombang penolakan terhadap kerajaan yang gagal memahami kesengsaraan rakyat.

Waktu pentadbiran saya, walaupun ada kritikan semasa PKP tetapi keadaan masih terkawal. Berbeza dengan hari ini, kemarahan rakyat semakin terbuka, bahkan Perdana Menteri dihina di tempat awam dan media sosial penuh dengan luahan kecewa.

Sepanjang lebih 50 tahun dalam politik, tidak pernah saya melihat rakyat semiskin ini, suasana semarah ini dan kekecewaan seteruk ini.

 

PARTI POLITIK MAIN PERANAN WUJUDKAN GELOMBANG PERUBAHAN

Ya, parti politik memang memainkan peranan penting dalam mencetuskan gelombang perubahan. Kita bukan berjuang untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk rakyat, baik Melayu mahupun bukan Melayu.

Apa yang kita suarakan, adalah suara rakyat. Apabila kita angkat isu rakyat, ada yang mempersenda kononnya pembangkang hanya pandai bercakap, tidak realistik. Sedangkan kerajaan hari ini lebih sibuk ke luar negara, ke sana ke sini, sementara masalah dalam negara tidak diselesaikan.

Berbelanja berjuta-juta untuk lawatan luar, sedangkan dalam negara rakyat makin terhimpit dengan kos sara hidup. Bukankah keadilan asas mengajar kita bantu dahulu rakyat yang sedang susah? Itu prinsip paling asas dalam tadbir urus yang adil.

Kita lihat sekarang, soal good governance dan kecekapan pentadbiran seolah-olah sudah diketepikan. Dasar tidak teratur, pelaksanaan tergesa-gesa dan kesannya tidak diambil kira. Bukan soal ekonomi semata-mata tetapi juga soal identiti dan hak.

KEADILAN EKONOMI

Dahulu, dasar ekonomi berasaskan kaum diwujudkan kerana realitinya 80 peratus golongan miskin adalah Melayu. Ia bukan bersifat perkauman tetapi membela mereka yang benar-benar memerlukan.

Hari ini dasar berubah kepada berasaskan keperluan, namun golongan paling terkesan masih Melayu dan bumiputera. Malangnya, istilah bumiputera jarang disebut dalam dasar kerajaan, kesannya mereka semakin terpinggir. Kek ekonomi negara membesar tetapi bahagian bumiputera makin mengecil dari segi ekuiti, kekayaan dan peluang.

Bersatu memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai teras RMK12, namun ia dibatalkan kerajaan kini. Kita tidak menolak keadilan untuk semua kaum tetapi golongan yang tertinggal mesti diutamakan. Itulah asas sebenar keadilan sosial.

Lebih membimbangkan, pentadbiran hari ini sering membuat pengumuman tergesa-gesa, kemudian dibatalkan. Janji untuk tidak memegang dua jawatan utama juga tidak ditepati. Kuasa sepatutnya digunakan untuk membela rakyat, bukan retorik.

Dasar yang baik bukan diukur di atas kertas tetapi melalui kesan kepada rakyat. Jika hidup makin terhimpit, harga barang naik dan peluang semakin sempit, maka dasar itu perlu dikaji semula.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN