KETIKA dunia masih dibayangi luka peperangan di Gaza, sinar kecil muncul dari New York. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melalui Perhimpunan Agungnya (UNGA) meluluskan resolusi bersejarah bagi menghidupkan semula penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.
Resolusi itu mendapat 142 undi menyokong, hanya 10 menentang termasuk Israel dan sekutunya Amerika Syarikat (AS), manakala 12 lagi berkecuali.
Angka di atas kertas itu bukan sekadar statistik. Ia adalah gema suara majoriti dunia yang menuntut agar rakyat Palestin diberi hak merdeka, hidup aman serta bermaruah.
Dunia seakan sedar, isu Palestin bukan lagi persoalan serantau tetapi ujian kemanusiaan sejagat.
Isu Palestin-Israel bermula sejak Deklarasi Balfour 1917 apabila British berjanji menjadikan Palestin sebagai tanah air orang Yahudi. Pada 1947, PBB memperkenalkan Partition Plan yang mencadangkan dua negara iaitu Yahudi dan Arab Palestin.
Namun, apabila Israel mengisytiharkan kemerdekaan pada 1948, perang tercetus. Ratusan ribu rakyat Palestin terusir dalam peristiwa Nakba. Pada 1967 pula menyaksikan Israel merampas Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Walaupun Majlis Keselamatan PBB meluluskan Resolusi 242 yang menuntut Israel berundur, ia tidak pernah dipatuhi sepenuhnya.
Harapan muncul pada 1993 dengan Perjanjian Oslo apabila Yasser Arafat dan Yitzhak Rabin berjabat tangan di White House. Namun, impian itu berkecai akibat perluasan penempatan haram Israel, konflik politik dalaman Palestin serta serangan berterusan.
Hari ini, lebih 30 tahun selepas Oslo, penyelesaian dua negara kembali menjadi topik utama. Bezanya, resolusi baharu PBB turut menuntut Hamas menyerahkan senjata serta pentadbiran Gaza dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Palestin dengan sokongan antarabangsa.
Tragedi besar meletus pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel, menyebabkan ratusan terbunuh dan puluhan ditawan. Israel membalas dengan kekerasan berlipat ganda. Gaza dibom tanpa henti, ribuan rakyat Palestin terkorban, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Israel menjadikan serangan Hamas sebagai justifikasi untuk menghancurkan Gaza. Namun dunia mula melihat isu ini lebih besar daripada Hamas. Ia adalah hakikat rakyat Palestin berdekad-dekad hidup dalam penindasan.
Penulis India terkenal, Arundhati Roy, pernah menegaskan: “Keadilan bukanlah sesuatu yang diberikan oleh mereka yang berkuasa. Ia dituntut oleh mereka yang tertindas.” Kata-kata itu mencerminkan perjuangan rakyat Palestin yang menuntut keadilan walau dibayar dengan darah.
Resolusi PBB yang diluluskan di New York membawa intipati penting:
- Mengecam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
- Menuntut Hamas menyerahkan senjata.
- Mendesak penamatan perang di Gaza.
- Menyokong penyelesaian dua negara yang adil dan berkekalan.
- Membuka ruang bagi misi penstabilan antarabangsa di Gaza di bawah mandat Majlis Keselamatan.
Naib Presiden Palestin, Hussein al-Sheikh, menyifatkan keputusan ini sebagai tanda kesediaan dunia menyokong hak rakyat Palestin. Ia dianggap langkah penting menuju penubuhan negara Palestin yang berdaulat.
REAKSI DUNIA
Liga Arab menyambut baik resolusi tersebut. Malah, negara seperti Perancis menyatakan kesediaan mengiktiraf Palestin secara rasmi, sesuatu yang bakal diumumkan pada Sidang Kemuncak PBB September ini.
Sebaliknya, Israel menolak keras. Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu menegaskan negara Palestin “tidak akan pernah wujud.”
Sementara Jurucakap Kementerian Luar Israel menyifatkan resolusi itu sebagai ‘sarkas politik’. Penolakan keras ini menunjukkan jurang besar antara aspirasi dunia dengan pendirian Israel.
Israel terus memperluas penempatan haram di Tebing Barat tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa. Dunia semakin hilang sabar. Nelson Mandela pernah berkata pada 1997: “Kami tahu kebebasan kami tidak lengkap tanpa kebebasan rakyat Palestin.”
Seperti runtuhnya apartheid di Afrika Selatan dengan tekanan global, dunia percaya penjajahan Israel juga mampu ditekan sehingga berakhir.
SUARA PALESTIN
Bagi rakyat Palestin, resolusi ini ibarat cahaya di hujung terowong. Mereka menuntut hak yang paling asas iaitu untuk hidup bebas di tanah air sendiri. Mereka tidak meminta lebih daripada apa yang dimiliki bangsa lain selain sebuah negara merdeka, bendera sendiri dan masa hadapan yang terjamin.
Banyak tokoh memberi suara sokongan:
- Pope Francis: “Kedamaian memerlukan keberanian – lebih besar daripada keberanian untuk berperang.”
- Mahatma Gandhi: “Jika kita mahu kedamaian sejati di dunia, kita harus memulakannya dengan anak-anak.”
- Edward Said: “Keadilan untuk Palestin bukan sekadar isu politik, ia adalah isu kemanusiaan.”
Kata-kata mereka menegaskan Palestin adalah nadi perjuangan kemanusiaan dunia.
Islam menekankan keadilan adalah asas perdamaian. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat ihsan…” (An-Nahl: 90)
Rasulullah SAW juga bersabda: “Barang siapa melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lidahnya; jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)
Menyokong Palestin adalah sebahagian daripada menentang kemungkaran penjajahan.
Resolusi PBB tidak akan bermakna jika hanya tinggal di atas kertas. Negara yang sudah mengiktiraf Palestin perlu memperkukuh pendirian, manakala yang masih ragu perlu segera bertindak.
Seperti kata Arundhati Roy: “Kebisuan di hadapan kezaliman adalah bentuk persetujuan terhadapnya.” Maka, berdiam diri bererti mengkhianati kemanusiaan.
Hari ini Gaza hampir musnah, Tebing Barat dicengkam penempatan haram dan pemimpin Israel terbuka menolak kewujudan Palestin. Namun, fakta lebih 75 peratus negara anggota PBB sudah mengiktiraf Palestin memberi sinar harapan.
Dengan tekanan global, solidariti antarabangsa dan doa umat manusia, masa hadapan Palestin masih boleh diselamatkan.
Akhirnya, Palestin adalah cermin kemanusiaan dunia. Apakah kita rela membiarkan sebuah bangsa hidup tanpa negara? Apakah kita sanggup membiarkan anak-anak mereka membesar di bawah runtuhan?
Hari ini, jihad terbesar adalah menegakkan keadilan buat Palestin, bukan dengan senjata tetapi melalui suara, pena, undi dan solidariti. Dunia harus memilih sama ada berpihak kepada penindasan atau berdiri bersama Palestin.
Kerana Palestin bukan sekadar isu politik. Palestin adalah ujian bagi seluruh umat manusia.-UTUSAN
ATRIZA Umar adalah Calon Ijazah Kedoktoran Dalam Bidang Kepimpinan Wanita.










