Malaysia perlu tunggu untuk ke Piala Dunia 2026

Malaysia perlu tunggu untuk ke Piala Dunia 2026

Penyerang Speedy Tigers, Norsyafiq Sumantri cuba melepasi halangan dua pemain Korea Selatan dalam aksi Piala Asia 2025 di India, semalam. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan terpaksa menunggu lebih lama untuk mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 susulan kegagalan melayakkan diri beraksi di final Piala Asia 2025.

Juara Piala Asia menerima slot automatik ke kejohanan yang bakal diadakan di Belanda dan Belgium pada Ogos 2026 dan Malaysia hanya boleh menyalahkan diri sendiri berikutan kekalahan 4-3 kepada Korea Selatan dalam aksi ketiga Super 4, kelmarin.

Itu bermakna Malaysia perlu beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 pada 28 Februari hingga 8 Mac depan dengan tujuh daripada 16 pasukan terbaik sahaja diberikan tiket ke pusingan akhir.

Speedy Tigers mendahului permainan 3-1 menentang Korea Selatan, namun gara-gara Syed Syafiq Syed Cholan dan Shello Silverius dilayangkan kad hijau masing-masing pada minit ke-49 dan ke-50 telah memberi ruang kepada lawan menyamakan kedudukan.

Mengulas lanjut, bekas pertahanan negara, Maninderjit Singh berkata, Malaysia masih dibelenggu masalah yang sama dan gagal mengatasinya sekali gus menjadi punca kegagalan pasukan.

“Pengurusan kad antara faktor yang perlu dilihat. Korea Selatan menjaringkan dua gol pada minit ke-50 dan ke-51 selepas dua pemain kita dilayangkan kad hijau.

“Pengurusan kad ini berkait rapat dengan bagaimana anda mengawal emosi sebab aksi tersebut kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan. Misi hidup mati jadi ia berbeza dengan aksi sebelum ini walaupun kita kalahkan mereka 4-1 di peringkat kumpulan,” katanya.

Maninderjit pernah mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik 1996 dan 2000 turut berkata, kegagalan pasukan mendapatkan kemenangan pada saat yang memerlukan juga menjadi punca kegagalan.

“Kita tak boleh dapatkan keputusan yang kita nak apabila kita memerlukan. Perkara sama yang berlaku di Piala Negara-Negara (Jun lalu),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×