JOHOR BAHRU – Penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menyifatkan komunikasi yang berkesan bersama barisan pertahanan membantu pasukan mengekang serangan Palestin apabila menang 1-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini kelmarin.
Menurut penjaga gawang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, pemain kekal berdisiplin sepanjang tempoh 90 minit hingga tidak memberi ruang kepada pasukan lawan untuk mencipta jaringan.
Katanya, kesemua rakan sepasukan bermain bermati-matian dan memberikan persembahan bertenaga bagi memastikan kemenangan berada dalam genggaman.
“Alhamdulillah, untuk perlawanan malam ini, pemain bermain secara bersepasukan dan memberi lebih 100 peratus dan kekalkan momentum sampai 90 minit.
“Kami saling berkomunikasi bagi memastikan pemain berada di posisi yang betul dan membentuk barisan pertahanan yang tersusun. Dengan cara ini, kita dapat beraksi mengikut strategi dan formasi yang diterapkan.
“Kesungguhan yang dipamerkan rakan sepasukan amat baik. Saya ‘salut’ semua pemain yang ada dalam pasukan ini,” katanya.
Pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 itu, Ahmad Syihan Hazmi dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan setelah bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan Palestin dan memastikan gawang tidak dibolosi. – UTUSAN










