Kesungguhan pemain TFC berbaloi

Kesungguhan pemain TFC berbaloi

Pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid berdepan kecederaan buku lali. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kesungguhan tinggi pemain Terengganu FC (TFC) sejak minit pertama perlawanan menjadi kunci pasukan itu menewaskan Imigresen FC 3-0 pada aksi kedua pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, kelmarin.

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali berpuas hati dengan semangat anak-anak buahnya yang berjuang habis-habisan untuk melangkah ke suku akhir.

Kemenangan bergaya itu melengkapkan kebangkitan skuad Penyu selepas tewas 1-2 pada aksi pertama di Pulau Pinang bulan lalu untuk mara ke suku akhir dengan agregat 4-2.

Menurut Badrul Afzan, bagaimanapun masih ada ruang penambahbaikan terutama dari segi sentuhan penyudah apabila beberapa peluang keemasan gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

“Pemain menunjukkan kesungguhan dari awal hingga akhir mencari gol. Alhamdulillah, dengan kemenangan 3-0 ini kita layak ke suku akhir.

“Secara keseluruhan, saya puas hati tetapi kalau lihat, Gabi (Gabriel Silva) ada empat peluang keemasan untuk menambah jaringan tetapi tidak dapat disudahkan. Berbeza dengan Akhyar Rashid, setiap kali peluang dia mampu menghasilkan gol,” katanya.

Dua gol Akhyar Rashid dan satu jaringan Junior Sam menjadi pemangkin kejayaan tersebut, sekali gus menghadiahkan malam penuh bermakna buat ribuan penyokong setia yang hadir.

TFC akan berdepan pemenang di antara Kuching City FC dan DPMM FC pada aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN