PETALING JAYA: Pemangku jurulatih Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan mengakui kemenangan 1-0 ke atas Sabah FC dalam aksi Liga Super kelmarin tetap menghadirkan rasa lega meskipun persembahan pasukannya belum mencapai tahap yang diharapkan.
Katanya, keputusan positif itu lebih penting selepas skuad Penyu terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak utama, sekali gus memberi peluang kepada pemain tempatan untuk memikul tanggungjawab lebih besar.
“Sudah tentu saya berpuas hati dengan keputusan, tetapi dari segi permainan saya rasa kurang memuaskan. Kita beraksi tanpa ramai pemain yang sebelum ini merupakan pemain regular.
“Tetapi kredit kepada semua pemain kerana mereka ambil peluang yang diberikan dan cuba buat yang terbaik.
“Alhamdulillah, apa yang kita sasarkan untuk penutup musim yang baik akhirnya menjadi kenyataan malam ini,” katanya selepas perlawanan.
Sebaliknya, beliau mengakui Sabah lebih banyak menguasai permainan dan mencipta peluang, namun keberkesanan memanfaatkan kesempatan menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
“Kalau tengok perlawanan, Sabah lebih mendominasi dan ada banyak peluang. Inilah bola sepak, siapa gunakan peluang dengan baik akan menang.
“Pada awal permainan mungkin sedikit terganggu dengan cuaca, tetapi bukan masalah besar. Yang penting pemain berjaya menyerap tekanan dan mengekang ancaman Sabah,” ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih Sabah, Juan Torres Garrido tetap melihat banyak sisi positif meskipun Sabah FC menutup aksi terakhir di laman sendiri musim ini dengan kekalahan.
“Saya rasa pasukan bermain bola sepak yang baik, dengan tenaga yang bagus dan niat untuk menyerang. Kami banyak masuk ke dalam kotak penalti serta mencipta peluang.
“Kami perlu menyesuaikan sedikit corak permainan kerana tidak mempunyai pertahanan tengah semula jadi, tetapi saya tiada sebarang aduan terhadap pemain.
“Kadang-kadang walaupun kita bermain dengan baik, kemenangan tidak datang,” katanya selepas aksi terakhir musim ini.-UTUSAN










