JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz bangga apabila berjaya membantu pasukan melakar rekod baharu jaringan terbanyak semusim dalam saingan Liga Super setelah menjaringkan 103 gol dalam 23 perlawanan, dengan mempunyai satu perlawanan yang perlu dilalui.
Meskipun berjaya meletak penanda atas baharu dalam Liga Super, Munoz menyifatkan angka tersebut hanyalah sekadar statistik yang tidak akan bermakna tanpa kerja keras dan komitmen tinggi setiap pemain terhadap pasukan.
Tegasnya, fokus utama pasukan adalah untuk terus berkembang menjadi pasukan yang lebih baik bagi membolehkan pasukan meneruskan dominasi dalam saingan Liga Malaysia.
“Sudah tentu saya gembira dengan rekod jaringan ini, bukan mudah untuk mencipta rekod baharu setelah JDT sendiri meletakkan satu standard yang sangat tinggi, ia menjadi pembakar semangat buat pemain.
“Rekod 103 gol itu hanyalah satu angka. Di sebalik angka tersebut, ia adalah hasil usaha keras setiap pemain dari minit pertama sehingga wisel penamat bagi setiap perlawanan, mereka kerah tenaga untuk beri yang terbaik.
“Sudah pasti musim depan kami akan cuba memberikan yang terbaik dan melangkah setapak lagi ke hadapan. Mungkin fokus kami adalah untuk tidak memboloskan gol atau mungkin menjaringkan lebih banyak gol lagi,” katanya.
Untuk rekod, JDT memecah rekod jaringan terbanyak Liga Super semusim yang dicipta pasukan itu pada 2023 di bawah kendalian Esteban Solari setelah menjaringkan 100 gol dalam 26 perlawanan, dengan purata hampir 3.8 gol bagi setiap perlawanan.
Kemenangan 7-0 ketika membelasah Kuala Lumpur (KL) City, kelmarin menyaksikan JDT mencatat 107 perlawanan tanpa kalah dan mampu menyamai rekod ASEC Mimosas dari Ivory Coast yang mencatat 108 perlawanan tanpa kalah dari tahun 1989 hingga 1994 apabila berdepan Kelantan The Real Warriors (TRW), Ahad depan.
“Bukan mudah untuk berada pada tahap ini kerana pasukan perlu konsisten setiap perlawanan, tambahan pula rekod ini terhasil dalam era bolasepak modern, ia sangat sukar.
“Apapun, kita perlu kuatkan semangat untuk hadapi dua perlawanan liga lagi bagi membolehkan JDT memecah rekod tersebut, kita akan pastikan matlamat ini tercapai,” ujarnya.-UTUSAN










