PETALING JAYA: Kemenangan besar 4-0 ke atas Penang FC menjadi suntikan semangat terbaik buat Selangor FC bagi menghadapi Nam Dinh FC dalam aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/2026 di laman sendiri, Rabu ini.
Pengendali Selangor FC, Kim Pan Gon berkata, kejayaan menewaskan Penang FC dalam aksi liga kelmarin menjadi petanda positif terhadap perkembangan pasukannya, khususnya daripada segi keyakinan dan identiti permainan.
“Saya rasa ya, ia bagus untuk menunjukkan semangat pemain kami dan karakter menyerang. Terutama dalam perlawanan di tempat sendiri hari ini (kelmarin), menjaringkan tiga gol awal, itu yang harus kita cuba jadikan sebagai ciri-ciri dan DNA pasukan.
“Jadi, perlawanan akan datang menentang Nam Dinh FC adalah sangat penting. Saya harap semua peminat datang menyokong kami Rabu ini. Kami akan berikan yang terbaik,” katanya.
Pan Gon turut mengakui dia melakukan beberapa perubahan terhadap skuadnya ketika menentang Penang FC bagi memberi laluan kepada pemainnya untuk mendapatkan rehat secukupnya.
“Ya, saya rasa dari perlawanan hari ini (kelmarin) hingga ke Rabu, kami tidak mempunyai masa yang mencukupi. Jadi, kami cuba memberikan sedikit rehat kepada pemain. Manakala dari sudut lain, kami mahu memberi peluang kepada pemain lain untuk menunjukkan prestasi mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, Selangor semakin bernafsu untuk menamatkan saingan liga musim ini di tempat kedua sekali gus memburu tiket ke kejohanan peringkat Asia musim depan.
“Ya, bagi kami perlawanan hari ini (kelmarin) adalah perlawanan yang sangat penting untuk terus mencabar sehingga ke penghujung bagi melayakkan diri ke Asia. Jadi, saya amat menghargai usaha barisan pemain kami,” katanya.-UTUSAN










