PETALING JAYA: Persiapan skuad hoki lelaki negara ke Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2025 terganggu selepas beberapa tonggak utama mengalami kecederaan.
Ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh mendedahkan antara pemain yang terjejas ialah Azrai Aizad Abu Kamal, Alfarico Lance Liau Jr dan Syed Syafiq Syed Cholan.
“Kami sepatutnya menyertai kejohanan di Australia pada 26 September ini tapi disebabkan kecederaan, kami putuskan untuk tangguhkan kejohanan itu.
“Jadi kami perlu mengaturkan sekurang-kurangnya enam perlawanan pemanas badan sebelum bermulanya PSAS,” kata Sarjit kepada Utusan Malaysia.
Justeru, Sarjit kini bercadang membawa Speedy Tigers menjalani aksi pemanas badan di Eropah sebagai ganti program asal.
Edisi ke-31 PSAS yang menghimpunkan enam pasukan terbaik dunia iaitu Belgium, Jerman, India, Ireland dan Kanada dijadualkan berlangsung di Ipoh bermula 22 hingga 29 November ini.
Dalam pada itu, Sarjit berkata situasi kecederaan ini turut merencatkan terhadap misi lebih besar pasukan iaitu ke Sukan SEA Thailand pada penghujung tahun ini.
Sarjit bersama Speedy Tigers berjaya menghadiahkan pingat gangsa di Piala Asia 2025 dengan menewaskan China 4-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga, minggu lalu.
Sementara itu, penyerang negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menganggap pencapaian sebagai penjaring terbanyak Piala Asia dengan 12 gol adalah persiapan terbaik ke PSAS.
Akhimullah percaya pengalaman di Rajgir, India memberi keyakinan besar untuk memburu keputusan lebih baik di hadapan penyokong sendiri.
“Kejayaan muncul penjaring terbanyak merupakan hasil usaha satu pasukan, dan kami mahu gunakan momentum ini untuk tampil lebih garang di Ipoh nanti,” kata Akhimullah. – UTUSAN










