BARCELONA: Barcelona terus resah memantau keadaan bintang remaja, Lamine Yamal yang masih bergelut dengan kecederaan ari-ari manakala Frenkie de Jong berpeluang kembali memperkuatkan pasukan apabila kempen Liga Juara-Juara (UCL) membuka tirai.
Skuad kendalian Hansi Flick kembali beraksi selepas rehat antarabangsa dengan penuh bergaya apabila membelasah Valencia 6-0 di Estadi Johan Cruyff.
Ketiadaan Yamal dan De Jong langsung tidak dirasai ketika pesta gol itu, namun persoalan besar kini tertumpu kepada tahap kecergasan kedua-dua tonggak utama tersebut menjelang jadual padat awal musim.
Flick bagaimanapun meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara pengendalian pasukan kebangsaan Sepanyol terhadap Yamal.
“Mereka sudah mendahului sekurang-kurangnya tiga gol, tetapi dia masih bermain 73 dan 79 minit.
“Antara perlawanan dia langsung tidak berlatih. Itu bukan cara menjaga pemain. Saya sangat kecewa,” tegas jurulatih dari Jerman itu.
Nada Flick turut disokong Pengarah Sukan, Deco yang senada membidas pengendalian skuad La Roja terhadap aset muda berusia 17 tahun itu.
Menurut Mundo Deportivo, Yamal tidak hadir sesi latihan Isnin lalu, manakala De Jong yang pulang lebih awal dari tugasan bersama Belanda sudah kembali berlatih, memberi harapan untuk diturunkan menentang Newcastle United dalam saingan UCL. – AGENSI/UTUSAN










