MADRID: Peminat Sepanyol boleh menarik nafas lega apabila bintang muda Barcelona, Lamine Yamal dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan hamstring yang dialaminya, sekali gus meningkatkan peluangnya untuk beraksi dalam Piala Dunia 2026.
Pemain berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan tersebut pada 22 April lalu ketika aksi La Liga menentang Celta Vigo yang menyaksikan dia menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti sebelum terpaksa dikeluarkan.
Susulan insiden itu, Barcelona mengesahkan Yamal akan menjalani rawatan konservatif dan terlepas baki saingan liga, namun dijangka kembali cergas tepat pada masanya bagi menyertai Piala Dunia.
Perkembangan positif itu disahkan ketua jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente yang menyatakan keyakinan bahawa pemain berkenaan berkemungkinan besar cergas sepenuhnya menjelang perlawanan pertama mereka dengan bertemu Cape Verde pada 16 Jun ini.
“Kami tahu dia akan tiba dalam keadaan baik, malah saya berani mengatakan dia mungkin sudah bersedia untuk perlawanan pertama,” katanya kepada media Sepanyol.
Yamal merupakan antara tonggak Sepanyol turut mengakui terkejut dengan tahap kecederaan yang dialaminya serta bimbang ia boleh menjejaskan peluangnya beraksi di pentas terbesar dunia.
“Saya tidak pernah mengalami kecederaan hamstring seperti ini dan saya bimbang ia serius atau boleh berulang sehingga saya terlepas Piala Dunia,” kata Yamal.
Dalam pada itu, De La Fuente menegaskan semangat pasukan semakin tinggi selepas muncul juara Eropah, selain menyasarkan untuk meraih kejuaraan dunia kedua buat Sepanyol.
Jurulatih berusia 64 tahun itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila senarai 26 skuad Sepanyol tiada satu pun wakil daripada Real Madrid namun De La Fuente tetap menegaskan pendiriannya itu.
“Bagi saya, pasukan paling hebat ialah pasukan kebangsaan Sepanyol. Saya tidak melihat dari mana pemain datang atau latar belakang mereka. Yang penting ialah pemain Sepanyol yang bangga mewakili negara dan menjadi sebahagian daripada sebuah negara yang bersatu,” katanya.
Sepanyol dijadual mengharungi beberapa perlawanan persahabatan sebelum membuka kempen Piala Dunia, yang menyaksikan mereka diletakkan dalam Kumpulan H bersama Cape Verde, Arab Saudi dan Uruguay.
Sejak menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Sepanyol gagal melangkah jauh dalam tiga edisi berikutnya apabila tidak melepasi peringkat kumpulan. – AGENSI










