LONDON: Sepanyol mula dihimpit kebimbangan menjelang Piala Dunia 2026 apabila bintang muda sensasi, Lamine Yamal berdepan risiko terlepas dua aksi awal akibat kecederaan otot paha yang belum pulih sepenuhnya.
Tonggak berusia 18 tahun milik Barcelona itu masih bergelut dengan kecederaan dialami sejak April lalu sekali gus menimbulkan keresahan besar dalam kem juara Eropah tersebut.
Situasi itu pasti merunsingkan pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente memandangkan Yamal i dianggap senjata utama La Roja berdasarkan aksi luar biasa sepanjang musim bersama Barcelona.
“Kami percaya pasukan ini mampu memberi kegembiraan besar kepada Sepanyol dan kami juga percaya mampu memenangi Piala Dunia.
“Tetapi dalam masa sama, kami tahu banyak lagi negara berada pada tahap hampir sama dengan kami,” katanya.
Kebimbangan Sepanyol tidak terhenti di situ apabila pemenang Ballon d’Or, Rodri turut mencari tahap kecergasan sebenar selepas pulih daripada kecederaan ligamen lutut serius tahun lalu.
Dua lagi tonggak utama, Mikel Merino dan Nico Williams juga hadir ke kem latihan dalam keadaan belum benar-benar cergas selepas musim mereka banyak diganggu masalah kecederaan.
Bagaimanapun, Sepanyol tetap dilabel antara calon utama juara berdasarkan kekuatan skuad muda mereka selain status selaku juara Euro 2024 yang masih segar dalam ingatan peminat bola sepak dunia. – AGENSI/UTUSAN










