UNTUK sekian kalinya, bahasa Melayu sebagai bahasa negara sering hanya dikaitkan dengan fungsinya sebagai alat perpaduan.
Sehubungan itu, kelihatan seolah-olah peranan bahasa Melayu kini semakin dikhususkan, malah dihadkan hanya kepada tujuan penyatuan semata-mata.
Sedangkan, sebagai bahasa kebangsaan, kedudukannya bukan sahaja wajar diiktiraf dengan tegas tetapi juga perlu terus digembleng agar benar-benar memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan negara, baik dari segi mempererat hubungan etnik mahupun mengukuhkan integrasi nasional antara wilayah.
Sebetulnya, di Malaysia bahasa Melayu selaku bahasa negara berperanan serentak sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang perpaduan dan integrasi nasional. Hal ini kerana ia bukan sahaja mewakili identiti negara, malah mencerminkan identiti budaya rakyatnya.
Sementara itu, sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu berfungsi sebagai wahana kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. Penggunaannya yang diwajibkan dalam seluruh sistem kenegaraan bukan sekadar menyumbang kepada pembangunan negara tetapi juga memastikan kemakmuran bersama.
Oleh yang demikian, naratif sebahagian pemimpin Melayu yang hanya menekankan kepentingan bahasa Melayu dalam konteks kebangsaan semata-mata tanpa menyoroti peranannya sebagai bahasa rasmi, bukan sahaja tidak wajar berlaku, malah tidak boleh terus dibiarkan. Hal ini kerana sikap sedemikian merupakan penafian terbuka terhadap dua peranan penting bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Dengan kata lain, sewajarnya kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi hendaklah sama-sama diperkata. Naratifnya tidak boleh sesekali hanya menegaskan kepentingan bahasa Melayu sebagai wadah perpaduan sahaja. Ia wajib menekankan kepentingan bahasa Melayu selaku alat kemajuan untuk menyorong negara dan rakyat ke arah kejayaan.
Dengan ini, naratif tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah didendangkan setiap kali pemimpin negara berbicara mengenai kepentingan bahasa Inggeris. Ia tidak boleh hanya menyentuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sahaja.
Apabila seruan dibuat agar literasi bahasa Inggeris di negara ini dipertingkat untuk tujuan pengukuhan penguasaannya, ia tidak boleh sesekali dilakukan dengan cara yang boleh ditanggapi sebagai mengenepikan bahasa Melayu. Hal ini hendaklah dipastikan tidak berlaku dalam apa-apa cara jua walaupun separa sahaja.
Sebaliknya dilakukan dengan cara realitisik lagi nasionalistik agar bahasa Melayu dijunjung dan bahasa Inggeris didukung.
Dalam hal ini, hentikanlah naratif yang hanya menyebut peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan langsung tidak mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kemajuan. Ini kerana ia memberi gambaran bahasa Melayu kini hanya diutamakan untuk faktor perpaduan semata-mata dan tidak lagi bagi faktor kemajuan.
Ini bukan sekadar mesej salah tetapi penderhakaan terbuka terhadap bahasa Melayu yang diangkat dan dimaktubkan sendiri dalam Perlembagaan serta akta-akta lain.
Sepatutnya harus ditegaskan ialah pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, khususnya dalam urusan rasmi dan formal di peringkat nasional. Ia merupakan alat penting dan pragmatik untuk mencapai kejayaan, sama ada dalam bidang sosiopolitik, sosiobudaya, mahupun lain-lain.
Kebelakangan ini dengan tiada langsung naratif oleh pemimpin Melayu sendiri tentang peri pentingnya bahasa itu selaku bahasa rasmi, tidak menghairankan sama sekali apabila ia kini langsung tidak dipeduli rakyat, khususnya oleh bukan Melayu dalam ranah rasmi negara.
Dalam hal ini, sepatutnya pemimpin Melayu harus bukan sahaja selalu menegaskan kepentingan bahasa Melayu sebagai modal budaya tetapi memastikan ia sebegitu pada sepanjang masa.
Sebagai modal budaya, pengetahuan baik dan penguasaan tinggi bahasa Melayu hendaklah dijadikan bukan sahaja perkara dominan tetapi aset untuk memperoleh keuntungan seperti pengertiannya dalam bidang ekonomi. Ini boleh dilakukan dengan jayanya kerana akibat dan kesan terhadap bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah amanah kerajaan sepenuhnya.
Tidak dinafikan, naratif bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu penting. Namun, ia tidak wajar dibataskan kepada semangat nasionalisme semata-mata. Bahasa Melayu juga mesti dinaratifkan dalam kerangka nasionisme, yakni membina negara melalui pragmatisme peranannya sebagai bahasa rasmi.
Bahasa Melayu sebagai bahasa negara hendaklah sentiasa dibicarakan dalam konteks nasionalisme dan nasionisme sekali gus, kerana kedua-duanya saling melengkapi serta memerlukan.
Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu hendaklah dilihat sebagai keterikatan sentimental dan primordial rakyat kepada negara ini. Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah berupa bahasa yang membuat mereka bangga, sayang dan setia kepada negara ini sebagai tanah air.
Sehubugan ini, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menggabungkan keperluan untuk perpaduan dan integrasi dengan keperluan memiliki bahasa dan budaya yang unik lagi istimewa untuk Malaysia dan rakyatnya.
Apabila bahasa Melayu dibicarakan dalam konteks nasionalisme, ia tidak lain tidak bukan dilihat sebagai penentu utama kepada nasionaliti Malaysia. Ini kerana daripada kesemua institusi yang menentukan nasionaliti sesebuah negara, bahasa adalah institusi yang dengan cepat dikenal pasti untuk digunakan.
Ini berbeza dengan peranan bahasa Melayu selaku bahasa rasmi. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu hendaklah dilihat sebagai alat utama untuk bukan sahaja melakukan banyak perkara penting tetapi juga bagi memperoleh pekerjaan dalam sektor awam serta mencapai status sosial seperti pemimpin dan yang seumpamanya.
Sehubungan itu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mesti diiktiraf sepenuhnya oleh kerajaan tanpa diketepikan dalam apa jua keadaan. Keterikatan instrumental rakyat terhadapnya juga wajib direalisasikan melalui pelbagai langkah yang konkrit.
Antaranya, nasionisme memberi ruang untuk menjayakan pembangunan ekonomi. Jika nasionalisme berteraskan identiti kebangsaan, maka nasionisme pula ialah usaha kerajaan membina negara bangsa dengan menekankan kesetiaan rakyat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Melalui pendekatan ini, kerajaan dapat menawarkan pelbagai ganjaran, termasuk habuan ekonomi dalam pendidikan dan pekerjaan serta pengiktirafan sosial bagi menghargai sumbangan dan pencapaian tertentu.
Sesungguhnya, banyak negara di dunia lebih mengutamakan nasionisme berbanding nasionalisme. Justeru, Malaysia tidak boleh sekali-kali mengetepikan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa rasmi, kerana di situlah letaknya keutamaan sebenar nasionisme.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










