KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, rakaman video analisis menjadi panduan utama pemain Malaysia menghadapi cabaran Kejohanan Badminton Dunia di Paris yang membuka tirai 25 Ogos ini.
Beliau menjelaskan rujukan hanya dibuat terhadap aksi seperti Terbuka Jepun dan China bulan lalu kerana corak permainan beberapa pasangan terbaik dunia dari China, India dan Korea Selatan sentiasa berubah serta tidak boleh bergantung kepada analisis lama.
“Mereka (beregu lelaki) itu sering berjumpa dalam pertandingan. Salah satunya kita mesti gunakan video analisis supaya mengetahui kelebihan dan kekurangan lawan. Kita juga dapat tahu kekurangan kita di mana lalu dapat ditambah baik.
“Kebiasaannya saya berbincang dengan pemain untuk perancangan permainan dan strategi menghadapi mereka (lawan). Ini cara kita dapat mencari perbezaan kecil yang menentukan kemenangan pada hari perlawanan,” kata Herry kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Dalam undian, gandingan utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan selaku pilihan kedua dilihat mempunyai laluan baik untuk memburu kejuaraan dunia kedua mereka apabila berpotensi berjumpa dengan pasangan utama China dan India, Liang Wei Keng-Wang Chang dan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di aksi suku akhir.
Sementara itu, Herry turut berharap gandingan No 7 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mampu melepasi cabaran suku akhir yang berpotensi berdepan pilihan pertama dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae selepas kekalahan mereka di suku akhir Terbuka Jepun dapat dijadikan pengajaran menerusi analisis semula.
“Kalau di Jepun kita lihat mereka kalah set pertama (dengan Korea) bagaimana dan set kedua menang bagaimana. Jadi perancangan permainannya, strategi kita harus lihat bagaimana kita tengok video analisis itu,” katanya.
Kejohanan Badminton Dunia 2025 menyaksikan Malaysia menurunkan pasangan teramai dengan empat beregu lelaki menerusi Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King serta pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah pada edisi 2022 selepas menjadi wakil negara pertama meraih emas dalam kejohanan terbabit selepas menewaskan bekas juara dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan. – UTUSAN










