Tang Jie-Ee Wei catat sejarah Malaysia mara ke final

Tang Jie-Ee Wei catat sejarah Malaysia mara ke final

Juara dunia, Tang Jie-Toh Ee Wei hanya memerlukan 33 minit untuk menyingkirkan gandingan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 21-14, 21-11 di peringkat 16 terbaik, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis, mungkin hadiah yang terbaik buat rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-68, esok.

Pasangan No. 4 dunia itu mengikut jejak langkah beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah selepas mereka menundukkan gandingan tuan rumah, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang menghuni ranking No. 8 dunia menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-16 dalam masa 53 minit pada separuh akhir di Adidas Arena, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei juga merupakan beregu campuran pertama Malaysia yang berjaya mara ke perlawanan akhir pada kejohanan dunia.

Sebelum ini, pencapaian terbaik wakil negara pada kejohanan berprestij itu adalah menerusi Koo Kien Keat-Wong Pei Tty yang memenangi pingat gangsa bagi edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.

Kemenangan tersebut juga menyaksikan beregu campuran No. 1 Malaysia itu semakin melebarkan rekod pertemuan kepada 4-2 ke atas Gicquel-Delrue.

Dalam perlawanan akhir, esok, Tang Jie-Ee Wei bakal menghitung pertemuan dengan beregu No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.

Zhen Bang-Ya Xin menewaskan rakan senegara mereka, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui yang merupakan gandingan No. 7 dunia menerusi kemenangan 11-21, 23-21, 21-18 dalam masa 1 jam 8 minit.

Ee Wei berkata, bukan satu laluan yang mudah sejak kejohanan dunia bermula dan mereka mengorak langkah demi langkah untuk terus berjuang menjadi gandingan yang lebih mantap.

“Dengan pelbagai ujian yang kami terpaksa harungi, hanya mereka yang sentiasa berada di sini kami tahu apa yang berlaku, jadi, saya berterima kasih kerana sentiasa memberikan sokongan sehingga kami berada di tahap ini,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan tamat.

Tang Jie pula berkata, masih ada satu lagi langkah yang perlu mereka harungi dan dia berharap dapat memberikan yang terbaik kerana peluang yang datang seperti ini tidak selalu hadir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×