Tidak perlu gentar lawan gergasi Liga Super

Tidak perlu gentar lawan gergasi Liga Super

Pemain-pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) mengikuti sesi latihan harian sebagai persiapan pembukaan musim baharu Liga Malaysia. - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga kelab dari Liga A1 Semi-Pro tidak perlu berasa gentar berdepan gergasi Liga Super dalam pusingan 16 terbaik Piala FA 2025/26, sebaliknya menjadikan aksi itu sebagai batu loncatan untuk mengasah pengalaman dan menilai kualiti pemain.

Bekas pemain Terengganu, Ahmad Nordin Alias berkata, meskipun undian mempertemukan mereka dengan pasukan elit seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Sabah FC, peluang beraksi menentang kelab besar perlu dilihat dari sudut positif.

Juara Liga Super 11 kali akan berdepan UM-Damansara FC, selain dua lagi kelab iaitu Bunga Raya FC akan menentang Sabah FC manakala Malaysian University FT akan melawan naib juara Piala FA musim lalu, Selangor FC.

Nordin selaku penjaring Terengganu FC ketika aksi final Piala FA 2011 menganggap tiada apa yang mustahil untuk melihat kejutan yang boleh berlaku kerana pusingan 16 ini akan berlangsung secara timbal balik.

“Apabila kita melihat format pusingan 16 yang akan beraksi secara timbal balik, kita tahu akan ada kejutan boleh berlaku. Sebab kalau satu kelab kalah di perlawanan pertama, sekurang-kurangnya mereka ada masa untuk perbaiki apa yang patut di perlawanan kedua pula.

“Apa yang menarik untuk saya lihat adalah apabila tiga kelab Liga A1 Semi-Pro akan berjumpa dengan tiga pasukan besar, situasi ini kita lihat mungkin laluan mudah untuk pasukan Liga Super.

“Tetapi saya percaya ia akan jadi satu pengalaman terbaik untuk dipelajari oleh pemain daripada kelab terbabit sebab bukan selalu peluang ini hadir untuk mereka lawan kelab seperti JDT, Selangor dan Sabah,” katanya.

Sementara itu, bekas kapten Perak Piala FA 2004, Ahmad Shahrul Azhar berkata, aksi sengit bakal disajikan dalam perlawanan melibatkan Kuching City FC menentang pendatang baharu, DPMM FC.

“Kuching City banyak buat kejutan ketika di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak pada tahun lalu, jadi kita mahu lihat juga sejauh mana kualiti mereka pada musim baharu nanti.

“Jadi apabila diundi bertemu DPMM FC, saya percaya mesti ramai yang menanti untuk tengok perlawanan itu yang tidak boleh jangka prestasi kelab baharu ini.

“Secara keseluruhan untuk undian kali ini, apa sahaja boleh berlaku baik pasukan besar atau pasukan yang kurang berpengalaman,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×