Piala FA: Penang FC bukan tandingan JDT

Piala FA: Penang FC bukan tandingan JDT

PEMAIN JDT, Marcos Guilherme (tiga dari kiri) cuba melepasi kawalan kapten Penang FC, Stefano Brundo (dua dari kiri) pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Bandaraya Pulau Pinang yang berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada JDT, 7-2.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan bahawa Penang FC bukan tandingan mereka apabila mudah menewaskan tuan rumah 7-2 dalam aksi berat sebelah pada saingan suku akhir pertama Piala FA yang berlangsung di Stadium Bandaraya di sini, petang tadi.

Penang FC yang pada mulanya turun dengan misi untuk menyekat juara bertahan Piala FA itu daripada berpesta gol bagaimanapun dipaksa bekerja keras sejak awal permainan untuk menangkis serangan bertali arus daripada pelawat.

Gol yang dicari JDT akhirnya menjelma pada minit ke-16 apabila pemain sayap, Manuel Hidalgo berjaya melepasi kawalan kapten Penang FC, Stefano Brundo sebelum melorongkan bola kepada Bergson da Silva.

Bergson yang tidak dikawal kemudian melepaskan satu rembatan deras ke arah gol melepasi jangkauan penjaga gol Penang FC, Nor Hakeem Hamidun untuk gol pertama perlawanan.

Seminit berselang, kesilapan pemain Penang FC, OJ Porteria menanduk bola ke belakang hampir menghadiahkan gol kedua buat JDT. Bagaimanapun, bola tersebut sekadar singgah di palang gol tuan rumah sebelum berjaya dikeluarkan dari kawasan bahaya.

Ketika aksi separuh masa pertama hampir ditamatkan, tonggak pertahanan pelawat, Bradley Anthony Tapp melakukan rembatan jarak jauh yang sama sekali gagal diselamatkan oleh Nor Hakeem untuk gol kedua JDT.

Masuk babak kedua, anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail berjaya merapatkan kedudukan menjadi 2-1 hasil jaringan pemain import, Celestine Enzo yang berpunca daripada satu serangan pantas.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Harimau Selatan kembali memperkemaskan jentera serangan mereka dan kembali menjarakkan kedudukan dengan gol ketiga yang disempurnakan oleh pemain tengah, Marcos Guilherme pada minit ke-54.

Sembilan minit kemudian, tuan rumah sekali lagi dihukum dengan gol keempat oleh pelawat menerusi pemain gantian mereka, Juan Martinez hasil umpanan Oscar Aribas.

JDT kemudian terus menambah derita Penang FC apabila menyumbat gol kelima dan keenam dalam masa tiga minit iaitu pada minit ke-67 dan 70 menerusi penyerang gantian, Zahedi Shahab dan Bradley yang juga gol peribadi kedua beliau dalam perlawanan itu.

Penyerang kebangsaan, Arif Aiman Mohd. Hanapi kemudian melengkapkan kejayaan JDT dengan jaringan ketujuh pada minit ke-91 sebelum pemain gantian Penang FC, Khala’if Naskam cuba merapatkan kedudukan dengan gol kedua empat minit kemudian.

Jaringan Khala’if bagaimanapun sudah terlambat untuk menyekat JDT daripada membawa bekalan selesa dengan kelebihan lima gol menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor, 9 Oktober ini..-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×