MARSEILLE: Pertemuan pramusim antara Marseille dan Aston Villa di Stade Vélodrome, Perancis, Sabtu lalu bertukar tegang apabila penyerang sensasi Marseille, Mason Greenwood didakwa meludah pemain tengah Villa, Amadou Onana sebelum terlibat insiden panas dengan Tyrone Mings.
Kejadian berlaku pada minit ke-87 selepas Greenwood mengasari Onana dan menolak pemain itu ketika dia bangkit.
Situasi memuncak apabila Mings datang membela rakan sepasukan, lalu berlaku aksi tolak menolak sehingga jersi Greenwood koyak.
Menurut laporan The Sun, pemain Villa berang kerana mendakwa Greenwood meludah ke arah Onana beberapa saat sebelum Mings campur tangan.
Rakaman perlawanan menunjukkan Onana bertindak balas seperti sesuatu terkena wajahnya sebelum membuat aduan kepada pengadil, namun tiada bukti jelas untuk mengesahkan dakwaan itu.
Dalam perlawanan itu, Greenwood, Onana dan Mings masing-masing dilayangkan kad kuning, sementara jurulatih Marseille, Roberto De Zerbi segera mengeluarkan Greenwood daripada permainan.
Insiden itu turut ‘menyemarakkan’ suasana panas di garisan tepi apabila De Zerbi dan pengendali Villa, Unai Emery dilihat bertikam lidah susulan terjahan keras terhadap bekas pemain tengah Marseille, Boubacar Kamara.
Villa difahamkan tidak akan mengambil tindakan lanjut dan sebarang hukuman bergantung kepada laporan pengadil kepada Persekutuan Bola Sepak Perancis (FA Perancis).
Marseille menang 3-1 hasil dua gol Pierre-Emerick Aubameyang pada babak kedua selepas Greenwood membuka jaringan dan Villa menyamakan kedudukan menerusi John McGinn. – AGENSI/UTUSAN










