PETALING JAYA: Gabriel Palmero terus mendapat kepercayaan Peter Cklamovski untuk memperkuatkan benteng pertahanan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan pada September ini.
Unionistas CF yang juga kelab pemain warisan negara itu telah mengesahkan Palmero telah mendapat panggilan antarabangsa untuk mewakili Malaysia pada kalender Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan.
“Gabriel Palmero telah dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan Malaysia bagi aksi persahabatan atarabangsa berdepan Singapura dan Palestin” kata Unionistas CF dalam satu kenyataan.
Kelab Divisyen 3 Sepanyol turut memaklumkan bahawa Palmero akan menyertai kem latihan skuad kebangsaan bemula pada Ahad ini iaitu selepas aksi liga membabitkan kelab berkenaan.
Pertahanan kiri itu akan beraksi dalam perlawanan pertama liga bersama Unionistas terlebih dahulu yang bakal turun berdepan Osasuna Promesas pada 31 Ogos ini di gelanggang sendiri.
“Palmero akan memulakan perjalanan bersama skuad negara hanya beberapa jam setelah aksi pertama liga untuk pasukan Unionistas menentang Osasuna Promesas,” jelas kelab itu.
Kehadiran Palmero di dalam skuad kebangsaan amat penting untuk memberikan lebih pilihan kepada Cklamovski bagi merangka pertahanan ampuh dalam dua aksi pemanas badan nanti
Setakat ini, hanya Palmero sahaja yang sah dipanggil ke sesi latihan kebangsaan dengan baki pemain lain dijangka diumumkan dalam masa terdekat oleh barisan kejurulatihan kebangsaan.
Aksi Harimau Malaya menentang Singapura akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September ini sementara aksi berdepan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 September. – UTUSAN










