LIVERPOOL: Bintang remaja Liverpool, Rio Ngumoha terus mempamerkan sentuhan berbisa apabila meledak gol seawal minit kedua pada penampilan sulung ketika menentang Athletic Club di Anfield, semalam.
Pemain berusia 16 tahun itu, yang sebelum ini mencuri tumpuan sepanjang aksi pramusim, membuka tirai jaringan ketika menentang Athletic Club dengan larian solo dari garisan tengah sebelum melepaskan rembatan lencong kaki kanan ke penjuru gawang lawan.
Aksi penuh keyakinan itu nyata memukau penyokong The Reds yang membanjiri stadium, dengan ramai di media sosial menggesa Ngumoha diberi peluang dalam skuad utama musim ini.
Selepas meledak gol, Ngumoha sekali lagi menjadi watak penting apabila melakukan hantaran tandukan kepada Darwin Nunez untuk gol kedua Liverpool pada minit kelima.
Pengendali Liverpool, Arne Slot, yang sebelum ini memuji persembahan pemain muda itu di Asia, sekali lagi kagum dengan sumbangan Ngumoha.
“Jika pada usia 16 tahun anda mampu memberi impak seperti ini, ia satu pujian yang layak,” ujar Slot.
Ngumoha, yang direkrut daripada Chelsea musim panas lalu, kini menjadi pilihan kedua di posisi sayap kiri di belakang Cody Gakpo, susulan perpindahan Luis Diaz ke Bayern Munich dengan nilai 65.5 juta pound(RM 367.8 juta) minggu lalu.
Dengan prestasi semasa, Ngumoha dilihat berpotensi menjadi senjata baharu Liverpool dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini. – AGENSI/UTUSAN










