NEW JERSEY: Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe bakal berdepan bekas pasukannya, Paris Saint-Germain (PSG) buat pertama kali sejak meninggalkan kelab itu setahun lalu.
Real yang dikendalikan Xabi Alonso akan berdepan PSG di separuh akhir Piala Dunia Kelab, awal pagi esok, perlawanan yang dibaratkan seperti pentas final di kejohanan itu.
Mbappe sepatutnya dikenang sebagai legenda PSG selepas tujuh musim di Paris, termasuk meninggalkan kelab sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman mereka dengan 256 gol dalam 308 perlawanan.
Namun, namanya tercalar kerana cara pemergiannya dan ramai merasakan detik terakhir di Paris dihabiskan dengan hanya menunggu masa untuk berpindah ke Real.
Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi tidak senang dengan keputusan Mbappe yang membiarkan kontraknya tamat untuk menyertai Real pada 2024 tanpa sebarang bayaran perpindahan.
Pertikaian undang-undang antara kedua-dua pihak berlangsung lama dengan Mbappe mendakwa beliau berhak menerima tunggakan gaji dan bonus berjumlah 55 juta euro (RM273.81 juta) ketika bersama PSG.
Perkembangan terbaru berlaku minggu ini apabila salah seorang peguam Mbappe memberitahu kapten Perancis itu menarik balik aduan berkenaan gangguan moral terhadap PSG.
Bagaimanapun, prestasi semasa Mbappe di Piala Dunia Kelab tidak berada di prestasi terbaik kerana tidak beraksi di peringkat kumpulan kerana berdepan masalah di bahagian perut.
Dalam ketiadaannya, penyerang muda, Gonzalo Garcia tampil menyerlah dan bermula dalam kelima-lima perlawanan di Amerika Syarikat (AS) serta menjaringkan empat gol dalam kejohanan itu.
Garcia mencetak gol pembukaan dalam kemenangan 3-2 ke atas Borussia Dortmund di suku akhir di Stadium MetLife pada Sabtu lalu.
Namun, Mbappe tetap menjadi topik utama perlawanan apabila masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dan menjaringkan gol ketiga Real melalui sepakan gunting akrobatik yang menakjubkan pada masa kecederaan.
“Dia masih belum berada pada tahap terbaik, belum 100 peratus, tetapi dia semakin pulih setiap hari. Sekarang dia perlu pulih untuk aksi separuh akhir,” kata Alonso. – AGENSI/UTUSAN










