MADRID: Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe percaya dia layak memenangi anugerah Ballon d’Or walaupun gagal menjulang trofi bersama gergasi Sepanyol itu pada musim ini,
Selain gagal di peringkat kelab, perjuangan Mbappe sebagai kapten Perancis di Piala Dunia 2026 juga berakhir tanpa trofi selepas disingkirkan Sepanyol di separuh akhir dan tewas kepada England pada penentuan tempat ketiga.
“Saya percaya saya boleh memenanginya (Ballon d’Or) pada tahun ini. Ia antara sasaran saya dan sasaran jangka pendek untuk meneruskan karier gemilang sebagai pemain terbaik dunia.
“Orang berkata saya tidak memenangi trofi (bersama kelab atau negara), tetapi ini ialah anugerah individu. Saya tidak pernah melihat pemenang Ballon d’Or dipilih secara sebulat suara.
“Adakah pernah ada pemain menang dengan 100 peratus undi? Itu bermakna sentiasa ada seseorang yang berpendapat pemenang itu tidak layak,” kata Mbappe dalam temu bual bersama France Football.
Dalam temu bual tersebut, pemain berusia 27 tahun itu turut memuji pengendali baharu Perancis, Zinedine Zidane, dan berkata, prestasinya musim ini wajar mendapat pengiktirafan sebagai pemain terbaik dunia.
Mbappe menjaringkan 15 gol dalam Liga Juara-Juara Eropah dan 25 gol dalam LaLiga sebelum menambah jumlah jaringan Piala Dunia kepada 22, sekali gus menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu.
“Ballon d’Or datang dari era Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, anda tidak memberikannya kepada pemain biasa, sebaliknya kepada pemain yang berbeza. Saya fikir saya melakukan perkara yang berbeza tahun ini, jadi saya percaya saya boleh menang,” katanya.
Ditanya sama ada dia menganggap dirinya layak menjadi pemenang, Mbappe memberikan jawapan tegas.
“Tiada pemain yang lebih baik daripada saya. Kami bercakap tentang pencapaian dan saya menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman di Piala Dunia yang menghimpun pemain terbaik.
“Sukar untuk memahami sepenuhnya makna Piala Dunia. Ia ialah kejohanan pemain hebat, pemain terbaik dalam sejarah permainan. Pada usia 27 tahun, saya sudah menjadi pemain yang menjaringkan gol paling banyak,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










