Kami sedia lakukan apa sahaja untuk menang-Mbappe

Kami sedia lakukan apa sahaja untuk menang-Mbappe

Skuad Perancis meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Paraguay 1-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik, awal pagi tadi-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHILADELPHIA: Kapten Perancis, Kylian Mbappé menegaskan skuad Les Bleus bersedia melakukan apa sahaja demi meneruskan kemaraan di Piala Dunia 2026 selepas menyingkirkan Paraguay 1-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik yang penuh sengit di Philadelphia, awal pagi tadi.

Mbappé menjadi wira Perancis apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70 untuk memastikan kemenangan tipis ke atas skuad kendalian Gustavo Alfaro.

Jaringan itu menjadikan bintang Real Madrid berkenaan kini mengumpul tujuh gol dalam kejohanan kali ini, selain 19 gol keseluruhan dalam sejarah penampilannya di Piala Dunia.

Perlawanan tersebut berlangsung dalam suasana panas dan tegang apabila Mbappé kerap menjadi sasaran provokasi pemain lawan, khususnya menjelang sepakan penalti yang turut menyaksikan insiden tolak-menolak serta gangguan di kawasan titik penalti.

Menurut Mbappé, Perancis sudah menjangkakan corak permainan keras yang bakal dihadapi dan bersedia untuk menghadapinya dengan pendekatan lebih fizikal.

“Kami tahu jenis perlawanan yang bakal kami tempuhi dan saya fikir semuanya berjalan dengan baik hari ini.

“Mereka mungkin menyangka kami hanya datang untuk bermain bola sepak cantik dan menyerang semata-mata.

“Tetapi kami juga tahu bagaimana untuk menghadapi perlawanan yang keras dan penuh fizikal. Kami lakukannya hari ini, kami menang dan dalam aspek itu kami lebih baik daripada mereka,” katanya.

Mbappé turut menegaskan Perancis bukan sekadar pasukan yang bergantung kepada corak permainan menyerang semata-mata.

“Cara kami bermain hari ini membuktikan kami bukan hanya tahu menyerang.

“Jika keadaan memerlukan kami bermain lebih lasak dan berjuang habis-habisan, kami tiada masalah untuk melakukannya,” ujarnya.

Perancis kini akan membuat persiapan rapi menjelang aksi suku akhir menentang Maghribi di Boston, Khamis ini, dalam misi memburu kejuaraan dunia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN