LONDON: Manchester United masih dalam perbincangan dengan Brentford bagi mendapatkan penyerang Bryan Mbeumo dan sehingga kini belum ada kata putus berikutan jurang penilaian antara kedua-dua kelab terhadap Mbeumo terlalu besar.
Pakar perpindahan terkenal, David Ornstein mendedahkan Red Devils bersama pengurusnya Ruben Amorim masih belum mencapai persetujuan dengan Brentford.
Perpindahan yang sebelum ini dianggap hampir selesai kini berisiko gagal sepenuhnya dengan kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dilaporkan berbeza beberapa juta pound dalam nilai tawaran.
Mbeumo, 25, sudah bersetuju dengan syarat peribadi bersama United, namun pengurusan Brentford sudah menolak dua bidaan rasmi.
Tawaran kedua United bernilai 55 juta pound (RM313 juta) bayaran tetap dan tambahan 7.5 juta pound (RM42.7 juta) sebagai insentif, masih belum mencapai harga permintaan Brentford yang mahukan 65 pound juta (RM370 juta) dibayar secara penuh.
The Red Devils juga tidak dapat menambah dana mereka, dengan Antony, Marcus Rashford, Tyrell Malacia, Jadon Sancho dan Alejandro Garnacho semuanya masih berada di kelab dan belum dijual.
Amorim berharap sebahagian besar skuadnya dapat dibentuk tepat pada masanya untuk jelajah pramusim United.
Tarikh akhir itu kini membayangi sebarang prospek pemain baharu dan pada masa ini kelihatan sukar untuk dipenuhi.
Untuk rekod, United telah menandatangani Matheus Cunha dalam perjanjian 62.5 juta pound (RM374.3 juta).
Pemain Brazil itu dibawa masuk dari Wolves pada Jun dan kini sudah memulakan latihan pramusim di bawah Amorim manakala satu-satunya pemain lain yang ditambah ke dalam skuad utama ialah Diego Leon. – AGENSI/UTUSAN










