SUNGAI BULOH: Skuad ragbi 7 sebelah negara diramal berdepan cabaran sengit di Sukan SEA Thailand jika Singapura dan Filipina menyenaraikan pemain naturalisasi dalam temasya dwitahunan itu pada Disember ini.
Filipina, Thailand dan Singapura disifatkan sebagai tiga cabaran utama yang perlu ditempuhi skuad ragbi 7 sebelah (7s) wanita negara bagi memburu pingat pada temasya tersebut.
Ketua jurulatih kebangsaan, Mohammad Faiz Samsukhidir berkata, Filipina dijangka mengulangi taktik membawa masuk pemain naturalisasi saat akhir seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Singapura dan Filipina sebenarnya tiada masalah dari segi kekuatan sedia ada, tetapi jika Filipina menurunkan pemain naturalisasi seperti edisi lalu, ia boleh menjejaskan perancangan kita.
“Saya dimaklumkan mereka kini tiada bajet, tetapi untuk Sukan SEA, apa-apa pun boleh berlaku.
“Saya jangka mungkin sehingga enam pemain naturalisasi akan dibawa masuk,” katanya pada sidang media majlis penajaan rasmi antara Hong Leong Yamaha (HLYM) dan KRM di Kompleks Hong Leong Yamaha, kelmarin.
Dalam masa yang sama, Faiz turut memberi perhatian terhadap Singapura yang tampil konsisten dengan barisan pemain sama sejak dua tahun lalu dan pernah menewaskan Malaysia dalam beberapa pertemuan terkini.
Thailand pula sebagai tuan rumah dijangka membuat persiapan rapi dengan sasaran mempertahankan dominasi mereka di pentas serantau.
Bagaimanapun, Faiz menegaskan anak buahnya tetap bersemangat untuk memberi saingan terbaik dan optimis menamatkan kemarau ke final selepas hanya meraih gangsa di Kuala Lumpur 2017.
“Memang menjadi hasrat saya untuk membawa pasukan wanita ini ke tahap lebih tinggi dan dengan semangat serta komitmen pemain, saya yakin sesuatu yang istimewa mampu dicipta,” katanya. – UTUSAN










