SHAH ALAM: Status pendatang baharu langsung tidak menghalang MBSA Blue Pelican daripada terus mencuri tumpuan dalam saingan Corporate Super Rugby (CSR) 2026 apabila mencipta kejutan terbesar musim ini dengan menewaskan juara dua kali, Muamalat Bullets 27-14 di EV Arena Elmina.
Kemenangan itu mengukuhkan reputasi Blue Pelican sebagai pasukan yang wajar diberi perhatian selepas meraih kemenangan kedua berturut-turut, bagi mengekalkan rekod sempurna dalam dua minggu pertama saingan.
Kejayaan tersebut diraih tanpa kelibat tonggak utama, Mohammad Nazreen Fitri yang sebelum ini menjadi antara watak penting ketika kemenangan besar ke atas Ragbi PDRM pada aksi pembukaan.
Bagaimanapun, ketiadaan pemain berpengaruh itu tidak menjejaskan rentak Blue Pelican apabila pemain lain tampil memikul tanggungjawab dengan cemerlang, terutama Nor Azmi Saruman yang mengemudi permainan pasukan dari posisi fly-half.
Nor Azmi bukan sahaja mengawal tempo permainan dengan baik, malah turut menyumbang drop goal penting pada separuh masa pertama sebelum dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Muhammad Faizal Tahir turut memainkan peranan besar apabila menyempurnakan tiga sepakan penalti untuk membantu Blue Pelican menjarakkan kedudukan dan mengesahkan kemenangan ke atas salah satu pasukan paling berpengalaman dalam liga.
Bagi Muamalat Bullets, kekalahan itu menjadi tamparan awal selepas mereka memulakan kempen dengan kemenangan ke atas ATM Vanguard minggu lalu.
Sementara itu, ATM Vanguard kembali menghidupkan cabaran mereka apabila membelasah Ragbi PDRM 47-7 dalam satu lagi aksi Minggu 2 yang berlangsung di venue sama.
Tampil dengan misi menebus kekecewaan selepas tewas kepada Muamalat Bullets pada aksi pembukaan, skuad Angkatan Tentera Malaysia itu terus menguasai permainan apabila menghasilkan lima try pada separuh masa pertama untuk membina kelebihan selesa.
Hamizan Rosli muncul watak paling menyerlah dengan tiga try, manakala Rostam Tugiman cemerlang menyempurnakan enam sepakan conversion ketika ATM Vanguard mendominasi perlawanan dari awal hingga akhir.
Bagi Ragbi PDRM, kekalahan itu menambah lagi cabaran yang perlu dihadapi selepas turut dibolosi 48 mata pada minggu pertama, sekali gus menyaksikan mereka masih mencari rentak terbaik dalam usaha memperbaiki kedudukan.
Selepas dua minggu saingan berlangsung, CSR 2026 mula memperlihatkan persaingan yang semakin terbuka dengan Blue Pelican muncul pasukan paling mencuri perhatian, manakala ATM Vanguard kembali menghangatkan perebutan kelompok teratas.-UTUSAN











