KUALA LUMPUR: Gandingan baharu, Datuk Pandelela Rinong dan juara Sukan SEA Kemboja 2023, Lee Yiat Qing menjadi taruhan utama skuad terjun negara bagi memburu pingat dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita di Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Singapura bulan depan.
Penampilan ini cukup istimewa buat Yiat Qing kerana ianya merupakan kemunculan sulungnya di pentas dunia, namun beliau diberi kepercayaan bergandingan bersama ikon terjun negara, Pandelela.
Pengarah teknikal terjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee berkata, kelebihan Pandelela beraksi empat kali di Sukan Olimpik dan digandingkan dengan Yiat Qing mampu mencabar kelompok podium dalam kejohanan tersebut.
“Sekarang, kita masih letak harapan kat seirama 10m, Yiat Qing dan Pandelela, itu harapan utama kita. Yiat Qing juara 10m platform Sukan SEA lalu, jadi kita percaya pengalaman itu cukup untuk bantu dia beri saingan,” kata Ken Nee kepada pemberita Sidang Media Persekutuan Rennag Malaysia (MAS), di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, semalam.
Pandelela yang kembali pulih daripada kecederaan juga menunjukkan prestasi konsisten, selain bebas daripada kecederaan menjelang kejohanan dunia yang bakal bermula 11 Julai ini.
Selain itu, Malaysia turut menyenaraikan lima penerjun lelaki ke kejohanan tersebut dengan sasaran sekurang-kurangnya ke final bagi setiap acara.
Antara nama disebut termasuk Enrique Harold Maccartney dan Elvis Priestly Anak Clement dalam 10m platform seirama lelaki, manakala Syafiq Puteh mengetuai cabaran papan anjal individu lelaki.
Sementara itu, Ken Nee menjelaskan bahawa bagi atlet yang pertama kali beraksi di pentas dunia, fokus utama adalah untuk memberikan mereka pengalaman sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
“Untuk atlet kali pertama (ke kejohanan dunia) kita lebih kepada beri pengalaman supaya mereka bersedia hadapi Sukan SEA nanti,” katanya.
Dalam pada itu, dua penerjun muda, Nur Qayyum Nazmi Nazim dan Yong Rui Jie turut tersenarai dalam kategori papan anjal namun pemilihan bagi 1m dan 3m masih belum dimuktamadkan. – UTUSAN










