Tangan ghaib kacau skuad terjun di Doha?

Tangan ghaib kacau skuad terjun di Doha?

PANDELELA Rinong masih atlet terbaik negaraa bagi acara 10 meter (m) platform individu wanita - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kegagalan skuad terjun negara di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha minggu kini bertukar misteri setelah ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mendedahkan wujud ‘tangan ghaib’ yang mengganggu kem Malaysia sepanjang mereka berada di sana. 

Skuad terjun negara bukan sahaja menampilkan aksi buruk di kejohanan itu, malah beberapa tonggak utama termasuk Pandelela dan Nor Dhabitah Sabri gagal untuk meraih slot ke Sukan Olimpik Paris Julai depan.

Pandelela menjelaskan perkara yang berlaku itu telah memberi kesan kepada prestasi mereka, namun dia tidak mendedahkan secara terperinci tentang kekacauan yang melanda barisan atlet negara sepanjang dua minggu berada di Doha.

“Ada perkara yang tidak kena berlaku dan itulah yang terjadi. Perkara itu telah menjadi tambahan kepada semua yang berlaku. Ada yang berlaku berada di luar kawalan kami, yang mana kami boleh kawal, kami cuba untuk mengawalnya. 

“Ada bendalah yang berlaku di luar jangkaan kami, hendak diperjelaskan nanti panjang cerita. Apa yang saya boleh katakan ada perkara luar jangkaan yang berlaku dan nasib tidak menyebelahi kami. Boleh dikatakan hampir semua (penerjun) terkesan dengan perkara ini. 

“Dia bukan sahaja mengganggu penerjun senior, juga penerjun junior. Lebih baik saya membincangkan perkara ini dengan pihak Menteri (Hannah Yeoh),” jelas Pandelala yang ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Dalam masa yang sama, Pandelela sedar dia berisiko besar digugurkan daripada program elit, ‘Road to Gold’ (RTG) susulan kegagalannya meraih tempat di Sukan Olimpik Paris, namun bersedia menerima segala keputusan dengan hati yang terbuka. 

“Saya memang sudah tahu, RTG ini adalah satu keistimewaan tapi tak bermakna ia meletakkan atlet dalam zon selesa, anda perlu buktikan yang anda layak untuk berada dalam program itu. 

“Saya terima sahaja apa jua keputusan yang akan diputuskan dan saya ingin berterima kasih kepada pihak RTG yang selama ini menyokong dan membantu saya misalnya pertolongan yang dihulurkan ketika Sukan Asia Hangzhou. Cuma tuah tidak berpihak kepada saya untuk Sukan Olimpik kali ini,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN