Hector akan sertai JDT musim depan 

Hector akan sertai JDT musim depan 

Hector Havel
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain tengah warisan negara, Hector Havel mengesahkan akan menyertai juara Liga Super 11 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim hadapan.

Walaupun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai kontraknya bersama JDT, namun pastinya berita tersebut menggembirakan peminat skuad Harimau Selatan berikutan Hector memiliki pengalaman yang luas beraksi di liga luar negara.

Pemain berusia 28 tahun itu pernah beraksi di Belanda, Cyprus, Sepanyol dan China sebelum kembali ke Eropah dengan menyertai kelab Portugal yang pernah menjadi kelab pemain kebangsaan, Safawi Rasid iaitu Portimonense SC.

“Saya akan menyertai dengan JDT,” kata Hector yang kini sedang melakukan persiapan bersama Harimau Malaya bagi menghadapi Vietnam dalam aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam 10 Jun ini.

Hector yang memulakan latihan rasmi pertamanya bersama Harimau Malaya pada 19 Mac lalu tidak mengambil masa yang lama apabila menjaringkan satu gol ketika membantu Malaysia menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi sulung kelayakan Piala Asia 2027, 25 Mac lalu.

Bercakap mengenai susur galurnya, Hector memberitahu dia mempunyai darah Malaysia di sebelah datuknya malah turut menyimpan hasrat untuk menjejaki sejarah keluarganya.

“Datuk saya dari Melaka. Ramai yang sudah meninggal dunia namun saya akan cuba menjejaki keluarga saya apabila bermain dengan JDT nanti. Saya akan cuba melawat dan belajar lebih lanjut mengenai mereka,” katanya.

Hector yang pernah beraksi dalam liga kompetitif di luar negara turut berkata dia tidak akan merasai perbezaan yang begitu ketara apabila beraksi di Liga Malaysia (Liga M) musim depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN