OSTRAVA: Armand Duplantis terus mengukuhkan status raja lompat bergalah dunia apabila memenangi acara itu di Kejohanan Olahraga Golden Spike di Republik Czech semalam dengan lompatan 6.13 meter (m).
Percubaan mencipta rekod dunia baharu dengan 6.29m gagal, namun keunggulannya masih jauh meninggalkan pencabar terdekat dari Greece, Emmanouil Karalis.
“Saya rasa sangat baik, tak banyak yang boleh dikeluhkan hari ini. Secara keseluruhan saya rasa lompatan saya memang bagus dan saya boleh berpuas hati,” kata Duplantis.
Namun di sebalik prestasi pemegang rekod dunia 6.28m itu, sorotan turut beralih kepada bintang remaja Australia, Gout Gout, 17, yang mencatat 20.02 saat (s) dalam 200m sekali gus mencipta rekod kebangsaan negaranya.
Gout yang meraih perhatian dunia ketika berlari 19.84s secara bantuan angin sebelum ini, langsung tidak gentar ketika membuat penampilan sulung di Eropah.
“Sebaik melangkah ke trek, hanya saya dan apa yang perlu saya lakukan iaitu berlari,” kata Gout.
Dalam pada itu, Phanuel Kipkosgei Koech dari Kenya pula memenangi 1500m dengan masa 3:29.05s, menandakan kebangkitan generasi baharu atlet remaja dalam pentas senior dunia. – AGENSI/UTUSAN










