Saling menyokong kerjaya, sebelum berkahwin kami sudah bincang - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Saling menyokong kerjaya, sebelum berkahwin kami sudah bincang – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasangan pengantin baharu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman dan selebriti popular, Bella Astillah sepakat untuk saling menyokong kerjaya masing-masing selepas mendirikan rumah tangga.

Bella berkata, masih terlalu awal untuk mengulas lanjut mengenai penyesuaiannya sebagai isteri kepada ahli politik memandangkan dia baru seminggu bergelar isteri.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Lebih Indah Berpisah itu berkata, dia sentiasa memberikan sokongan kepada suaminya dalam urusan kerja tanpa mencampuri hal berkaitan kerjaya politiknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa masih terlalu awal untuk memberikan sebarang komen kerana saya baru seminggu bergelar isteri. Namun, apa-apa sahaja urusan kerja dia, saya tidak masuk campur.

“Cuma, kadangkala apabila saya melihat dia baru pulang daripada kerja, saya akan bertanya, ‘Bagaimana? Semuanya okey?’

“Selain itu, saya tidak bertanya terlalu terperinci. Saya hanya memberikan sokongan kepadanya,” katanya ketika ditemui di majlis resepsi mereka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, dia juga akan memainkan peranan untuk menemani Bella ke acara hiburan, selain menyokong komitmen isterinya terhadap kerjaya seni.

Menurutnya, mereka perlu saling melengkapi dalam kehidupan berumah tangga dan tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab untuk menyesuaikan diri hanya pada sebelah pihak.

“Insya-Allah. Maksud saya, itu tanggungjawab saya. Bella juga kadangkala turun ke kawasan saya. Tidak bolehlah hanya seorang sahaja yang melengkapi pasangannya. Kami perlu saling melengkapi.

“Seperti yang telah saya janjikan sejak awal, perkara ini merupakan perbincangan besar yang tidak boleh ditangguhkan sehingga selepas perkahwinan.

“Sebelum berkahwin lagi, kami sudah berbincang tentang kerjaya masing-masing. Kami akan saling menyokong antara satu sama lain. Pada masa yang sama, Bella juga mahu terus bekerja dan saya bertanggungjawab untuk membantu serta membimbingnya,” katanya.

Dalam pada itu, Bella meluahkan rasa syukur apabila suaminya kini membantu menguruskan pelbagai urusan, sekali gus membolehkannya memberikan lebih perhatian kepada anak-anak.

Katanya, kebahagiaan yang dirasai ketika ini turut bergantung pada kegembiraan anak-anaknya.

“Saya sangat bersyukur kerana akhirnya berasa lega. Terima kasih kepada suami saya. Sekarang, sebagai contoh, apa-apa sahaja urusan, sama ada berkaitan kerja atau perkara lain, semuanya diuruskan oleh suami saya. Contohnya, urusan penerbangan.

“Jadi, saya berasa sangat bersyukur kerana kini boleh memberikan tumpuan kepada anak-anak. Saya tidak tahu bagaimana hendak mengucapkan terima kasih dengan secukupnya. Kebahagiaan Bella sekarang ialah apabila melihat anak-anak turut bahagia. Kalian sendiri boleh melihatnya. Jadi, Alhamdulillah,” katanya.

Pasangan ini sah bergelar suami isteri dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung pada 10 Oktober.

Untuk rekod, Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 32,  dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Alsagoff, 33, mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini