PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik menempah tempat ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut dalam tempoh tiga minggu selepas melepasi halangan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura, malam tadi.
Namun, beregu lelaki No. 2 negara itu dipaksa beraksi selama 1 jam 4 minit sebelum mengesahkan slot final menjadi milik mereka selepas mengalahkan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 19-21, 21-10, 21-18.
Aaron-Wooi Yik mencipta hatrik mara ke pentas akhir dalam tiga kejohanan termasuk Terbuka Thailand yang menyaksikan mereka muncul selaku juara, manakala di Malaysia Masters sebagai naib juara dan kini Terbuka Singapura.
Hari ini di Stadium Tertutup Singapura, juara Asia itu bakal menghitung pertemuan dengan beregu No. 10 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Won Ho-Seung Jae menewaskan pasangan No. 2 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 21-17, 21-16 dalam masa 42 minit.
Berdepan Won Ho-Seung Jae yang memegang rekod pertemuan 1-0 ke atas gandingan negara itu dengan satu-satunya pertembungan membabitkan kedua-dua beregu tersebut berlaku di Terbuka India, Januari lalu.
Wooi Yik ketika ditemu bual BWF selepas perlawanan berakhir berkata, berdepan Rankireddy dan Shetty tidak mudah kerana mereka berdua merupakan beregu berpengalaman.
“Kami mengharungi perlawanan yang berkualiti tinggi tadi, setiap mata yang diraih amat penting. Walaupun mendahului di depan, tetapi lawan tidak memberi ruang untuk kami selesa, setiap strategi dan pukulan sangat kritikal,” kata pemain berusia 27 tahun itu. – UTUSAN










