PSM rehatkan' Azlan, Khairul Aman ke Piala Raja Thai

PSM rehatkan’ Azlan, Khairul Aman ke Piala Raja Thai

MOHAMMAD Azlan Alias (kanan) beraksi dalam perlawanan akhir acara berpasukan menentang Thailand dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia ASTAF 2025 di Kuala Lumpur, minggu lalu. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara tidak mempunyai pilihan selain bertandang ke Kejohanan Piala Raja Thai pada Julai ini tanpa khidmat dua perejam utama, Mohammad Azlan Alias dan Khairul Aman Mohd. Rosdi yang direhatkan.

Piala Raja Thai pada 20 hingga 27 Julai di Korat, Thailand sepatutnya menjadi medan untuk skuad negara membalas dendam selepas Malaysia tumpas kepada skuad Gajah Perang itu dalam acara berpasukan di Piala Asia 2025.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, Malaysia akan menggunakan khidmat perejam lain di kejohanan Piala Raja Thai dan akan bangkit dengan skuad lebih mantap pada Sukan SEA 2025.

“Azlan disahkan retak tulang siku oleh doktor selepas menjalani pemeriksaan penuh di MSN (Majlis Sukan Negara) dan beliau akan berehat selama dua bulan. Kita tidak mahu tergesa-gesa untuk Azlan kembali beraksi.

“Untuk Piala Raja Thai, kita akan guna khidmat perejam lain kerana saya nak rehatkan dulu Azlan dan perkasakan perejam-perejam yang kita ada selain memberi pendedahan di pentas tertinggi kepada mereka.

“Begitu juga dengan Khairul Aman, dia juga tidak akan sertai Piala Raja Thai, kita mahu kedua-dua perejam ini fokus kepada pemulihan agar kita tampil lebih kuat dan kita ada misi di Sukan SEA 2025 di Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Sumali, biarpun tanpa khidmat Azlan dan Khairul Aman, itu tidak bermakna skuad negara bimbingan Ahmad Jais Baharun tidak akan memberikan tentangan kepada tuan rumah, Thailand.

Azlan yang juga perejam sensasi negara mengalami kecederaan ketika melakukan rejaman pada aksi final regu berpasukan menentang Thailand pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, di Stadium Titiwangsa pada Ahad lalu.

Manakala, Khairul Aman pula berdepan masalah kesihatan sebelum aksi Malaysia menentang Jepun di peringkat kumpulan acara berpasukan yang menyaksikan pemain itu terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam.

Difahamkan, selepas ini Azlan akan menjalani proses fisioterapi dan rawatan intensif dalam tempoh dua bulan ini, namun kemampuannya untuk pulih sepenuhnya masih bergantung kepada laporan perubatan terkini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×