PROFESION paling mulia di sisi Allah dan juga masyarakat ialah guru atau pendidik. Guru bukan sahaja insan yang mengajar masyarakat menjadi berilmu, tetapi lebih jauh daripada itu dalam mencorak anak didik menjadi insan yang mampu berjasa kepada keluarga dan masyarakat.
Pengorbanan seorang guru amat selari dengan tarikh keramat 16 Mei yang disambut setiap tahun. Hakikatnya, kembara menuntut ilmu daripada seorang guru tiada penghujungnya. Dari anak kecil sehingga usia emas, guru atau pendidik saling melengkapi peranan yang dimainkan oleh ibu bapa.
Selain peranan penting yang dimainkan ibu bapa, guru mengajar manusia supaya pandai membaca dan menulis, mengenal Tuhan, memahami maksud yang dapat dilihat serta boleh membezakan tingkah laku baik mahupun buruk.
Merekalah yang mengajar manusia supaya menjadi insan berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Guru boleh diibaratkan sebagai lilin yang sanggup membakar diri menerangi orang lain. Ibarat lilin, walaupun harus terbakar, suasana gelap akan bertukar menjadi terang.
Secara tradisionalnya kerjaya pendidik termasuk guru dan pensyarah merupakan kerjaya popular kerana ia dikatakan paling kurang stres. Banyak juga pendapat menyatakan tugas sebagai pendidik terjamin, mudah dan banyak masa dapat dihabiskan bersama keluarga. Malah, ada yang beranggapan pendidik adalah profesion paling ‘santai’ kerana banyak cuti dan kerja yang tidak berapa berat tetapi masih mendapat sanjungan tinggi masyarakat.
Setuju atau tidak, inilah tanggapan umum yang biasa berkaitan dengan kerjaya sebagai pendidik satu ketika dahulu. Namun, profesion perguruan bukanlah seindah yang dibayangkan. Tidak ramai tahu zahirnya kelihatan indah dan mudah sedangkan tersimpan seribu satu cabaran yang hanya dirasai oleh pendidik itu sendiri.
Perubahan persekitaran yang berlaku masa kini menuntut perubahan besar kepada profesion perguruan, termasuk jangkauan isu kesihatan dan kesejahteraan. Kedua-dua isu ini perlu dijadikan tunjang reformasi pendidikan. Reformasi yang selari dengan perubahan teknologi melalui Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Masyarakat 5.0 amat memerlukan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan. Perkembangan komunikasi digital membolehkan guru kini bekerja bila-bila masa di mana jua dan tanpa henti. Trend kerja terkini dan masa hadapan menyebabkan masa bekerja guru atau pendidik semakin panjang.
Perubahan yang berlaku di persekitaran turut menyumbang isu stres dan kemurungan terhadap profesion perguruan. Mengapakah isu stres menjadi semakin sinonim dengan tugas pendidik?
Kemajuan teknologi dan era digital menjadikan tanggungjawab guru semakin kompleks dan mencabar. Guru tidak lagi sekadar mendidik atau mengajar di dalam kelas, tetapi juga sebagai pembimbing, mentor dan rakan berkongsi cerita. Mereka perlu menguasai pelbagai kemahiran baharu, termasuk penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Lambakan kerja di luar jangkaan menjadikan tugas sebagai guru semakin mengundang stres. Guru dikatakan terbeban dengan kelas yang memiliki bilangan murid yang ramai, selain perlu turut melakukan tugas pengkeranian.
Guru yang bertindak sebagai pentadbir juga perlu bergegas ke sana ke mari menghadiri mesyuarat demi mesyuarat, merangka strategi dan pelan pembangunan sekolah serta pelbagai lagi aktiviti. Ini termasuk memastikan kelestarian penarafan sekolah dalam memberikan pendidikan cemerlang kepada masyarakat. Tugas hakiki sebagai guru pada masa yang sama juga tidak boleh dikesampingkan.
Guru juga antara paling ramai ‘berpisah’ dengan keluarga dan berjauhan dengan orang tersayang. Istilah guru ‘berduka lara’ ini berlaku apabila sesetengah guru sama ada wanita atau lelaki terpaksa berulang-alik ke tempat kerja dengan jarak jauh atau terpaksa tinggal berasingan dengan pasangan kerana bekerja di daerah berbeza.
Minat dan kesungguhan menjadi seorang guru juga semakin luntur dalam kalangan generasi masa kini. ini juga dilihat sebagai penyumbang kepada isu stres dalam kalangan guru sedia ada.
Kenyataan ini bukan bermaksud merendahkan profesion perguruan, tetapi kita perlu akur pada hakikat segelintir daripada mereka yang menjadi guru tidak mempunyai kesungguhan dan ciri-ciri sebagai ‘pendidik’. Bagi golongan ini, kerjaya guru dipilih kerana persepsi ia adalah kerjaya yang paling selamat, terjamin dan berstruktur.
Terdapat guru yang mengalami stres kerana berhadapan dengan tingkah laku pelajar yang sukar dikawal di samping ibu bapa yang kurang memahami dan tidak membantu. Hal ini diburukkan lagi dengan sikap pelajar yang malas, nakal dan tidak mendengar kata membuatkan pendidik hilang sabar serta kurang bermotivasi untuk profesion ini. Situasi ini juga boleh dikaitkan dengan tahap pemikiran dan pembangunan sesebuah lokaliti.
Kekurangan latihan tentang kaedah menangani stres dalam kalangan guru juga dilihat sebagai faktor yang menyebabkan ia menjadi ancaman utama profesion perguruan. Mempelajari strategi daya tindak yang baik dapat menambah baik kematangan guru dalam mendampingi pelajar khususnya dalam era perubahan teknologi dan persekitaran.
Masalah kewangan juga sering menjadi punca menyebabkan seseorang guru berasa stres. Terdapat segelintir guru yang terpaksa melakukan kerja tambahan di samping tugas hakiki. Perubahan gaya hidup dan peningkatan kos sara hidup mungkin mengundang pelbagai implikasi kewangan khususnya bebanan hutang.
PERKASA KESIHATAN MENTAL
Cabaran mendepani profesion perguruan dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan tidak boleh dipandang remeh. Umpama bom jangka, cabaran pastinya meninggalkan impak negatif kepada tugas seorang pendidik, keluarga dan organisasi secara keseluruhannya.
Sudah tiba masanya tarikh 16 Mei meletakkan keutamaan pemerkasaan terhadap kesihatan dan kesejahteraan mental warga pendidik.
Cahaya dari sebatang lilin yang menyinar adalah lebih mulia, namun jika ia dibiarkan terus terbakar, lama-kelamaan menjadi suram dan tidak lagi kelihatan.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










