PEMILIHAN PKR peringkat cabang menyaksikan kekalahan mengejut beberapa tokoh berprofil tinggi dalam parti, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat mengenai hala tuju dan kestabilan dalaman PKR.
Individu yang selama ini memainkan peranan penting dalam membina kekuatan akar umbi dan mempertahankan prinsip reformasi parti tersingkir dalam perebutan jawatan ketua cabang.
Ironinya, ramai daripada calon yang menang adalah muka baharu yang dilihat tidak memiliki latar belakang akar umbi yang kukuh. Fenomena ini menimbulkan persoalan besar, adakah PKR sedang melakukan penyusunan semula demi pembaharuan, atau sedang berhadapan dengan kepincangan dalaman yang lebih parah?
Secara zahir, proses pemilihan ini mungkin dilihat sebagai strategi pembaharuan. Naratif rasmi menyatakan PKR sedang memberi ruang kepada kepimpinan muda, lebih progresif dan selaras dengan kehendak semasa pengundi.
Namun, di sebalik naratif ‘penyegaran’, terdapat suara-suara kecewa dan tidak puas hati yang mendakwa berlaku ketidaktelusan dalam proses pemilihan. Aduan berkaitan kelemahan sistem undian secara dalam talian, isu capaian maklumat yang tidak seimbang serta dakwaan campur tangan pimpinan atasan semakin lantang dibangkitkan di media sosial dan forum dalaman parti.
Lebih merisaukan, terdapat persepsi calon-calon tertentu mendapat ‘restu’ pihak tertentu dalam parti, menjadikan proses pemilihan tampak tidak lagi neutral. Ini menghakis kepercayaan terhadap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sebagai badan bebas.
Jika tidak ditangani secara serius, PKR bakal berdepan dengan krisis keyakinan dalaman yang mampu menjejaskan jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kerana persepsi terhadap integriti pemilihan sangat mempengaruhi penyertaan politik dan kesetiaan ahli dalam parti demokratik.
Akar umbi merupakan tunjang kepada kekuatan PKR sejak penubuhannya. Namun, dengan kekecewaan yang berlaku dalam kalangan penyokong calon yang tewas, terutama apabila proses pemilihan dianggap berat sebelah, parti kini berisiko kehilangan sebahagian besar jentera kerja yang aktif di lapangan.
Situasi ini boleh mengakibatkan tindakan protes pasif seperti sabotaj dalaman, pengunduran daripada aktiviti parti, malah kemungkinan penubuhan blok baharu yang lebih radikal. Kegagalan untuk mengurus emosi pasca pemilihan akan menjadi liabiliti kepada prestasi parti di peringkat nasional.
Tambahan pula, pemilihan kali ini menunjukkan trend yang mana calon-calon muda dan baharu diberi mandat. Walaupun langkah ini dilihat strategik dalam menarik pengundi muda pasca Undi18, kritikan yang mereka ini belum cukup ‘masak’ dalam memahami idealisme perjuangan PKR serta tidak cukup teruji dalam kerja politik akar umbi.
Kepimpinan politik memerlukan lebih daripada sekadar populariti. Ia memerlukan kemahiran komunikasi, sensitiviti politik tempatan dan keupayaan menjana kepercayaan awam. Tanpa bimbingan yang rapi, kebangkitan pemimpin muda berisiko menjadikan parti lebih elitis, berpusat di bandar dan terputus daripada realiti rakyat luar bandar yang memerlukan perhatian berterusan.
Ini menimbulkan jurang antara kepimpinan pusat dan ahli di peringkat cabang; satu lagi simptom kepincangan struktur dalam PKR. Pemimpin muda yang gagal menunjukkan prestasi akan menjadi ‘peluru’ mudah kepada pihak lawan untuk mempertikaikan keabsahan dan kestabilan PKR sebagai parti pemerintah.
Lebih membimbangkan, pemilihan ini turut membuka semula luka-luka lama dalam PKR iaitu konflik dalaman antara kem Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Rafizi Ramli dan golongan reformis lama yang sebelum ini cuba disatukan pasca PRU15.
Meskipun usaha menyatukan parti telah dilakukan, pemilihan terbaharu ini memperlihatkan fraksi-fraksi ini masih aktif mempengaruhi keputusan di peringkat akar umbi dan pusat. Akibatnya, PKR kelihatan lebih sibuk menyelesaikan masalah dalaman berbanding merangka strategi menghadapi PRU16.
TERPERANGKAP DALAM DILEMA
Dalam politik era pasca kebenaran (post-truth), persepsi boleh membentuk realiti politik. Kekalahan tokoh lama seperti ini boleh ditafsirkan sebagai ‘pembersihan politik’ atau ‘penyingkiran terancang’.
Ini memberi ruang kepada musuh politik untuk melabel PKR sebagai parti yang hilang arah, tidak konsisten dan tidak setia kepada prinsip perjuangan asal. Apabila persepsi negatif dibiarkan berleluasa, ia boleh mencipta naratif yang jauh lebih bahaya berbanding fakta sebenar.
PKR juga kini kelihatan terperangkap dalam dilema antara keperluan melakukan pembaharuan dan keperluan mengekalkan kestabilan. Pemilihan yang sepatutnya menjadi medan demokrasi dalaman kini bertukar menjadi ujian kesetiaan, menimbulkan keretakan antara generasi baharu dan veteran parti.
Sekiranya pemimpin baharu tidak bersedia untuk bekerjasama dengan pemimpin lama atau enggan mendengar suara akar umbi yang lebih berpengalaman, proses pembaharuan ini tidak akan ke mana. Malah, ia hanya akan menambah kesan fragmentasi dalam struktur parti.
Apabila struktur dalaman parti lemah, tumpuan terhadap strategi nasional juga akan terjejas.
PKR kini berada dalam Kerajaan Perpaduan yang kompleks. Ia bukan sahaja perlu mengukuhkan kedudukan dalam Pakatan Harapan (PH), malah perlu mempertahankan imej sebagai tulang belakang kestabilan kerajaan.
Kepincangan dalaman yang berlarutan hanya akan memberi ‘peluru’ kepada pembangkang untuk menyerang kredibiliti parti dan gabungan pemerintah.
Langkah segera yang perlu diambil adalah mengaktifkan mekanisme pemulihan dalaman secara menyeluruh. Kepimpinan tertinggi perlu memulihkan semula kepercayaan terhadap sistem pemilihan, melibatkan pihak berkecuali sebagai pemantau dan yang paling penting mendengar keluhan akar umbi tanpa prejudis.
Komunikasi strategik perlu digerakkan untuk menjelaskan rasional pemilihan dan mengukuhkan naratif bahawa ini bukan proses ‘pengambilalihan kuasa’, tetapi sebahagian daripada proses pembaharuan demokratik parti.
Pemimpin baharu juga tidak boleh sekadar bergantung kepada imej, tetapi mesti segera membuktikan keupayaan dalam menyelesaikan isu setempat dan mendekati pengundi.
Tanggungjawab membina semula keyakinan pengundi bukan terletak pada presiden parti semata-mata, tetapi pada setiap pemimpin cabang yang menjadi wajah parti di kawasan masing-masing.
Jika ini gagal dilakukan, PRU16 akan menjadi titik penurunan pengaruh PKR. Pun begitu ia bukan disebabkan kekuatan lawan, tetapi disebabkan kelemahan sendiri.
Sebagai parti reformasi yang telah melalui pelbagai fasa getir, PKR tidak seharusnya terperangkap dalam kemelut dalaman berpanjangan. Reformasi bukan hanya slogan, tetapi mesti dizahirkan dalam proses dalaman yang adil, inklusif dan berpandukan prinsip moral politik.
Jika tidak, perjuangan yang pernah membakar semangat rakyat satu masa dahulu hanya akan tinggal sejarah yang gagal dipertahankan.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka.










