LANGKAH Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump melalui dasar ‘America First’ yang mengenakan tarif terhadap produk import dari China dan negara-negara dagang lain mencetuskan ketegangan perdagangan global.
Ketegangan ini memberi kesan besar kepada negara-negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia yang bergantung kepada perdagangan terbuka dan rantaian bekalan global.
Dasar tarif ini tidak hanya bertujuan mengurangkan defisit dagangan AS dengan China, tetapi juga menyebabkan ketidaktentuan ekonomi yang memberi impak kepada ekonomi serantau.
Tahun ini, Trump mengumumkan kenaikan tarif import yang signifikan. Pada 10 Februari, beliau mengenakan tarif 25 peratus terhadap import keluli dan aluminium dari seluruh dunia. Langkah ini disusuli tarif 25 peratus terhadap import kereta dan alat ganti pada 26 Mac, serta amaran untuk mengenakan tarif tambahan ke atas barangan dari China.
Terkini, Trump mengumumkan untuk mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua barangan import dari AS dan peningkatan duti secara signifikan.
Kenaikan tarif ini menimbulkan ketegangan perdagangan global, dengan negara-negara mitra dagang seperti Kanada, Jerman dan Mexico menganggapnya sebagai ancaman terhadap ekonomi mereka dan mengancam tindakan balasan.
Umpamanya, eksport dari AS ke Jerman pada 2022 bernilai sekitar AS$ 70 bilion (RM350 bilion). Produk yang dieksport termasuk mesin, peralatan elektrik, barangan kimia serta produk pertanian seperti jagung dan soya. Nilai dagangan ini sudah pasti akan terjejas apabila dikenakan tarif lebih tinggi menyebabkan gangguan dalam rantaian bekalan antara AS dan Jerman.
Banyak syarikat di Jerman yang bergantung kepada barangan dan bahan mentah dari AS untuk pengeluaran mereka. Keadaan ini akan memaksa syarikat-syarikat untuk menilai semula sumber bekalan mereka dan mencari alternatif domestik yang lebih murah.
Malaysia, sebagai negara pengeksport utama dalam sektor pembuatan, turut terkesan. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan eksport barangan elektrik dan elektronik yang menyumbang hampir 38 peratus daripada jumlah eksport negara menyusut sebanyak 3.2 peratus pada 2019. Hal ini disebabkan sebahagian besar komponen dihantar ke China untuk dipasang sebelum dieksport semula kepasaran AS.
Kejatuhan permintaan akibat tarif menyebabkan gangguan pada rantaian nilai ini. Pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia juga menyusut sebanyak 55 peratus daripada RM64.2 bilion pada 2019 kepada RM32.4 bilion pada 2020, mencerminkan sikap berhati-hati pelabur terhadap ketidaktentuan geopolitik dan dasar perdagangan global.
Negara-negara jiran serantau turut mengalami kesan yang hampir serupa. Thailand, sebagai pengeluar utama kenderaan dan alat ganti automotif, mencatatkan penguncupan eksport automotif sebanyak 11.3 peratus pada 2019.
Filipina, yang bergantung kepada eksport semikonduktor dan peralatan elektronik, mengalami pertumbuhan eksport yang lembap, hanya sekitar 1.5 peratus. Indonesia pula menyaksikan penyusutan permintaan terhadap bahan mentah seperti arang batu dan minyak sawit yang merupakan sumber eksport utama negara itu.
Perang tarif ini memberi tekanan kepada ekonomi ASEAN, dengan rantau ini mencatatkan pertumbuhan eksport yang lebih rendah berbanding unjuran awal.
ALTERNATIF BAHARU
Namun begitu, tidak semua kesan yang tercetus daripada perang dagang ini bersifat negatif. Sebaliknya, ia membuka peluang kepada negara-negara ASEAN untuk muncul sebagai alternatif baharu dalam rantaian pengeluaran global.
Vietnam, berjaya menarik pelaburan asing dalam sektor pembuatan yang sebelum ini berpusat di China. Negara itu mencatat pertumbuhan eksport ke AS sebanyak 29.1 peratus pada 2019 dan menerima FDI berjumlah lebih AS$ 20 bilion (RM90 bilion).
Malaysia juga berpotensi mengisi ruang ini. Keupayaan dalam sektor teknologi tinggi, kestabilan politik relatif serta kemudahan infrastruktur menjadikan Malaysia destinasi yang berdaya saing. Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan negara berjaya menarik pelaburan berjumlah RM329.5 bilion pada 2022, peningkatan 18.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Namun, untuk terus kekal kompetitif, Malaysia perlu meneliti semula pendekatan sedia ada. Pembangunan industri perlu berorientasikan teknologi dan inovasi, bukan sekadar bergantung kepada buruh murah.
Pelaburan dalam pendidikan teknikal dan latihan kemahiran perlu diperkasakan agar tenaga kerja tempatan bersedia menghadapi tuntutan ekonomi berteraskan teknologi.
Malaysia juga harus meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pendigitalan, pembiayaan berstruktur dan akses pasaran yang lebih luas. Dasar fiskal dan pelaburan perlu lebih bersasar dan mesra pelabur, dengan memberi keutamaan kepada sektor berimpak tinggi dan mampan.
Di peringkat serantau, ASEAN perlu memainkan peranan lebih proaktif. Kerjasama ekonomi serantau wajar diperkukuh melalui penyelarasan dasar perdagangan, standard teknikal, serta pemudahan pelaburan rentas sempadan.
Integrasi digital dan pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan memberi nilai tambah kepada daya saing blok ini secara kolektif.
Dalam landskap perdagangan global yang semakin berpecah dan berasaskan geoekonomi, suara yang senada melibatkan semua negara ASEAN lebih relevan berbanding pendekatan unilateral oleh negara anggota.
Malaysia, sebagai antara ekonomi utama ASEAN, perlu memainkan peranan sebagai penggerak dalam agenda pemulihan dan penyesuaian ekonomi rantau ini.
Malaysia dan negara serantau perlu berani merangka dasar-dasar baharu yang tidak hanya bersifat reaktif, tetapi juga strategik dan futuristik.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Shahsuzan Zakaria ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










