Universiti mesti beri impak kepada pembangunan masyarakat

Universiti mesti beri impak kepada pembangunan masyarakat

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menuntut pentadbir universiti untuk mengadaptasi pendekatan yang lebih holistik dalam setiap keputusan serta pelaksanaan dasar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN tinggi merupakan antara tunjang utama dalam membentuk masyarakat peradaban tinggi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing di peringkat global.

Dalam mencapai matlamat ini, proses pelajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) harus relevan dengan keperluan industri dan pemegang taruh, disamping mendukung pengisian nilai dalam pelajar.

Bagi merealisasikannya, pentadbir universiti memainkan peranan sangat penting sebagai penggerak dan pelaksana dasar strategik universiti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejayaan sesebuah universiti dalam melahirkan graduan berkualiti, membangunkan penyelidikan berimpak tinggi serta menjayakan agenda keterlibatan komuniti dan memberi impak kepada ummah keseluruhannya amat bergantung kepada pemahaman mendalam pentadbir universiti terhadap agenda strategik institusi masing-masing.

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), konsep ‘Universiti Ummatik’ menjadi teras kepada hala tuju strategik universiti dalam mendukung aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025.

Konsep ini menekankan kecemerlangan ummatik yang berlandaskan epistemologi tauhid, membentuk pemikiran yang bersepadu dan holistik dalam semua aspek akademik, pentadbiran dan perkhidmatan kepada masyarakat. Oleh itu, setiap pentadbir universiti harus memahami, menghayati serta menggerakkan inisiatif universiti dengan berlandaskan visi, misi dan agenda strategik ini.

 

PENTADBIR UNIVERSITI SEBAGAI PEMACU STRATEGIK
Dalam konteks perancangan strategik UIAM bagi tahun 2025-2026, beberapa elemen utama digariskan sebagai keutamaan, termasuk pemupukan minda tauhid, kecemerlangan ummatik dan pembangunan ekosistem akademik yang lestari.

Agenda ini hanya dapat direalisasikan melalui pentadbir universiti yang berwibawa, cekap dan proaktif dalam memahami serta melaksanakan setiap inisiatif universiti.

Sebagai contoh, agenda Memasyarakatkan Epistemologi Tauhid yang menjadi asas kepada pembangunan kurikulum dan penyelidikan memerlukan penglibatan aktif pentadbir universiti yang cakna dalam memastikan setiap program akademik dan aktiviti penyelidikan sejajar dengan prinsip ini.

Begitu juga dengan usaha Mengejar Kecemerlangan Ummah, bertujuan membangunkan ekosistem kampus yang holistik. Ia hanya dapat dijayakan dengan perancangan strategik dan sistem penyampaian yang efisien daripada pihak pentadbiran.

Selain itu, pentadbir universiti harus memahami elemen-elemen kritikal dalam rantaian nilai universiti, termasuk pembangunan sumber kewangan yang mampan seperti yang dibangunkan Pejabat Bendahari di UIAM iaitu Model Kemampanan Kewangan Baharu (NFSM) 2024-2028.

Ia juga termasuk penyediaan infrastruktur yang berkualiti, kesejahteraan komuniti universiti, pengukuhan jenama institusi dan penawaran program akademik yang relevan serta berkualiti tinggi.

Kesemua elemen ini memerlukan pentadbir yang bukan sahaja bertindak sebagai pelaksana dasar, tetapi juga sebagai pemikir strategik yang mampu menghubungkan objektif universiti dengan keperluan industri dan masyarakat.

MENDUKUNG ASPIRASI NASIONAL
Sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berperanan mendukung aspirasi nasional, UIAM yang sememangnya sebuah universiti berpaksikan Surah Al-Alaq, ayat 1-8 sebagai tunjang falsafah penubuhannya, akan merealisasikan agenda KPT 2025 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan institusi pendidikan tinggi yang mampan, berinovasi dan mempunyai daya saing global.

Ayat itu mengajar kita ilmu harus dicari dengan niat benar. Ia satu tuntutan yang perlu diasaskan kepada pengiktirafan keesaan Allah (tauhid), digabungkan dengan inovasi dan penyelidikan, diuruskan dengan penuh amanah serta dikembalikan kepada tujuan asal iaitu memartabatkan kebenaran juga kesejahteraan sejagat.

Kepimpinan berasaskan nilai menjadi pendekatan penting dalam memastikan pentadbir dapat memainkan peranan yang lebih efektif dalam mentransformasi universiti ke arah kelestarian dan kecemerlangan.

Nilai-nilai seperti amanah, ihsan, profesionalisme dan tanggungjawab sosial perlu diterapkan dalam setiap aspek pentadbiran serta pengurusan agar setiap keputusan mahupun tindakan yang diambil berpaksikan kepada prinsip keadilan selain keberkatan. Ia juga menggalakkan pentadbir universiti untuk bersikap lebih proaktif dalam menghadapi cabaran semasa dunia pendidikan tinggi yang semakin kompleks.

Cabaran dalam memastikan keberlanjutan kewangan, meningkatkan reputasi penyelidikan, memperkasakan hubungan industri dan mengukuhkan keterlibatan komuniti memerlukan pendekatan yang strategik serta inovatif daripada pentadbir yang berdaya fikir tinggi juga berjiwa besar dalam membawa perubahan positif kepada institusi.

PEMIKIRAN HOLISTIK
Minda tauhidik dan pemikiran ummatik yang diterapkan dalam hala tuju strategik UIAM menuntut pentadbir untuk mengadaptasi pendekatan yang lebih holistik dalam setiap keputusan serta pelaksanaan dasar.

Ini bermaksud, setiap inisiatif universiti bukan sahaja harus berorientasikan kecemerlangan akademik dan pengurusan, tetapi mesti mempunyai impak kepada pembangunan masyarakat dan kesejahteraan sejagat.

Sebagai contoh, dalam usaha membangunkan kampus lestari yang berteraskan prinsip tauhid, pentadbir harus mengambil kira aspek keseimbangan antara pembangunan fizikal dan kelestarian alam sekitar.

Begitu juga dalam aspek pembangunan insan, pentadbir harus memastikan pelaksanaan program yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, tetapi juga pembangunan sahsiah dan etika dalam kalangan pelajar serta semua warga universiti.

Kesemua elemen ini memerlukan pentadbir untuk sentiasa meningkatkan tahap kompetensi mereka dalam memahami dasar, strategi serta mampu menggerakkan inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan bersepadu universiti dan masyarakat.

Ini kerana, dalam era perubahan yang pesat, kejayaan sesebuah universiti bergantung kepada kecekapan dan keberkesanan pentadbir dalam memahami dan melaksanakan agenda strategik.

Dengan menjadikan epistemologi tauhidik sebagai panduan dan kecemerlangan ummatik sebagai matlamat, pentadbir harus memainkan peranan lebih signifikan sebagai pemimpin yang beriktikad untuk membawa perubahan dalam menjayakan aspirasi universiti serta menyokong agenda nasional.

Kesedaran dan kefahaman strategik ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan UIAM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia, tetapi menyumbang kepada pembentukan peradaban yang berasaskan ilmu, nilai dan integriti.

Dengan itu, masyarakat yang terhasil bukan sekadar berilmu dan berakhlak, tetapi juga berdaya saing dalam mendepani cabaran global sambil membawa manfaat yang lebih luas kepada ummah dan kemanusiaan sejagat.-UTUSAN

 

DR. Zurina Abd. Ghani ialah Pengarah Pusat Kepimpinan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini